Wednesday, November 10, 2010

Transformasi Institusi Zakat Di Malaysia: Satu Keperluan Atau Kemestian.
Luahan Teoritis Sepintas Lalu.

Luahan saya dalam ruangan wall facebook 2 hari yang lalu berbunyi "Saya setuju benar dalam hal yg berkaitan dengan Mu'amalah contohnya dalam kaedah inovasi Istibdal wakaf, boleh pulak kita ini menjadikan pendapat Imam Hanafi untuk meneruskan manfaat al-waqif, al-mawquf dan al-mawquf 'alaih dalam hal ehwal pengurusan mengembang dan membangunkan harta wakaf. Bila lagi fiqhu zakat ini akan dikembangkn pelaksanaan agihannya yg lebih cekap dan berkesan berdasarkn pendekatan yang telah dilaksanakan oleh mazhab2 fiqh yang lain".


Asasnya kutipan zakat itu adalah dari harta umat Islam yang cukup syaratnya untuk berzakat dari sudut ketetapan fiqh zakat. Matlamat zakat itu adalah untuk kesejahteraan ummah khususnya untuk asnaf dan umumnya selain asnaf berdasarkan fatwa ulama`semasa.

Boleh dikatakan setiap institusi zakat di seluruh negeri Malaysia begitu tegar untuk mengumumkan jumlah kutipan zakat masing-masing yang jumlahnya adalah ratusan juta ringgit setiap tahun. Secara umumnya, situasi ini menggambarkan bahawa umat Islam di Malaysia itu kaya secara gambaran teoritis berdasarkan kuantiti kutipan zakat. Sebagai yang dimaklumi, kutipan zakat itu hasil potongan ke atas harta umat Islam yang melebihi jumlah atau amaun tertentu yang telah memenuhi syarat untuk mengeluarkan zakat.

Namun, sejauh pula institusi zakat di seluruh negeri Malaysia bitar pula untuk mewar-warkan kepada masyarakat seantero negara akan prestasi agihan hasil kutipan zakat ratusan juta ringgit tersebut setiap tahun? Berapa jumlah ratusan juta pula yang telah diagihkan? Apa kaedah dan pendekatan menyalurkan agihan wang zakat itu dan adakah ia berkesan? Berapa banyak agihan yang telah dikeluarkan mengikut kategori setiap asnaf itu? Atau adakah agihan untuk tahun berikut hanya berdasarkan bajet (jangkaan belanjawan kutipan zakat) yang telah ditentukan kadarnya oleh lembaga pengarah atau majlis eksekutif institusi zakat? Inilah antara persoalan yang sentiasa bermain minda oleh masyarakat.
Oleh itu, saya amat bersetuju dengan padangan sahabat saya dari Kedah al-fadhil Ustaz Zulkifli Osman supaya institusi zakat sudah sewajarnya mengeluarkan penyata kewangan prestasi agihan dan perbelanjaan ke atas hasil kutipan wang zakat khususnya untuk pembangunan asnaf itu. Penyata itu dilaporkan kepada umum sebagai check and balance terhadap aktiviti wang hasil kutipan wang zakat terhadap orang yang berzakat, institusi yang diamanah menguruskan wang zakat dan asnaf yang menerima wang zakat.

Dalam keadaan tertentu, di Malaysia ada juga orang miskin yang mengaku mereka tidak miskin. Mungkin malu agaknya berdasarkan pengalaman saya semasa bertugas di larut, Matang, Taiping, Perak. Beliau mengatakan ada orang yang lebih susah dan lebih miskin darinya dan lebih layak menerima wang zakat berbandingnya. Subhanallah detik hatiku. Berprinsip waja barangkali hamba Allah ini. Ada juga orang kaya yang mengaku miskin yang begitu terhegeh-hegeh mengharapkan laba bantuan wang zakat. Bahkan, ada orang kaya yang tak mengaku dengan kekayaan dan nilai jutaan ringgit harta yang dimiliki serta sentiasa sibuk ke hulu dan ke hilir hendak menambahkan lagi kekayaannya. Bila hamba Allah yang susah dan miskin yang datang untuk memohon bantuan, hanya tukang kebun menjadi perantara memaklumkan tuan orang kaya besar tiada di rumah berurusan di luar kawasan. Hakikatnya si tuan badan orang kaya besar itu sedang asyik menonton siaran melekakan hati di hadapan kaca televisyen di ruang tamu rumahnya. Walau bagaimanapun, orang miskin mengaku miskin itu biasa dan sangat kerap kita dengar. Itu adalah perkara biasa dan common dalam realiti kehidupan bermasayarakat.
Apa yang menjadi tersangat penting, institusi zakat di Malaysia perlu mara dan maju sepuluh (10) langkah ke hadapan berbanding agensi lain yang hanya terkehadapan setapak atau selangkah ke hadapan. Institusi zakat perlu bertindak proaktif dalam merancang aktiviti-aktiviti yang bertepatan dengan syariat Islamiyyah yang sanagt berupaya mengeluarkan golongan asnaf di naungan istitusi masing-masing daripada kelompok kemiskinan kepada kelompok bukan miskin.
Program Bantu Diri Sosial sebagai contohnya, yang sebenarnya sudah lama diperkenalkan di beberapa negara di Timur Tengah seperti Arab Saudi, Kuwait, Mesir dan Syria, di Singapura dan Indonesia di Asia Tenggara dan hatta di beberapa negera miskin seperti di Bangladesh, Sri Lanka dan India walaupun negera ini bukan negara dipimpin oleh Islam telah pun maju dan terkehadapan dalam program ini. Pendekatan yang dilakukan di negara-negara ini sanat realistik. Modus operandinya adalah mudah (simple) dengan memberikan dana bantuan dwi bantuan dalam bentuk material spiritual, wang tunai dan material fizikal daripada sumber dana wakaf tunai dan dari sumber dana kutipan zakat kepada orang yang sama. Bermakna setiap asnaf akan menerima dua jenis bantuan dari sumber dana yang berbeza. Situasi yang berlaku di negara disebutkan di atas adalah berbeza dengan situasi penaja sumbangan dana bantuan di Malaysia. Di Malaysia, sekiranya mereka yang asnaf itu dan golongan miskin itu telah menerima bantuan dari agensi pemodal atau institusi selain institusi zakat, maka bantuan-bantuan dana tunai dan fizikal atau material lain dari agensi pemodal yang lain tidak lagi akan disalurkan. Justifikasi adalah untuk mengelakkan aktiviti redunduncy allocation dan boleh disalurkan kepada orang miskin yang lain dan untuk program pembasmian kemiskinan yang lain. Tindakan ini pada pandangan saya adalah kurang bijak dan tidak wajar berlaku kerana saya beranggapan jumlah bantuan yang rigid terhad dari satu agensi pemodal kepada seorang miskin akan merencat dan menggangu pembangunan kemahiran dan ekonomi serta modal pusingan jangka sederhana dan panjang masa depan golongan asnayang terlibat dalam program itu.

Berbalik kepada Program Bantu Diri Sosial tadi, wang kutipan zakat dandikumpulkan di bawah satu tabung di bawah agensi yang diamanhkan terus di bawah kementerian wakaf dan zakat. Agensi ini akan bertindak sebagai penyalurkan dan membiaya dana kepada asnaf khususnya dan mereka yang miskin yang difatwakan layak menerimanya. bentuk dan kaedah pembiyaan itu bergantung kepada keperluan asnaf dan golongan miskin tersebut seperti membiyai insurans kesihatan, insurans kemalangan, bil rawatan hospital, insurans sosial pengangguran atau kecacatan kekal, modal perniagaan secara individu atau kelompok, modal usaha pertanian secara individu atau berkelompok, modal perusahaan kecil individu atau berkelompok, dan yang paling utama modal untuk memberi motivasi, brain wash cut off captive minded, pendidikan jangka pendek atau jangka panjang serta kemahiran tertentu cenderung dan wujud kepada asnaf. Pelbagai aktiviti lain yang difikirkan sesuai dan affordable yang boleh mengeluarkan asnaf dari kepompong kemiskinan, memperoleh pekerjaan tetap yang stabil, mempunyai pendapatan dan akhirnya pendapatan yang diperolehi asnaf itu apabila cukup syaratnya, mereka boleh mengeluarkan zakat pula untuk diagihkan kepada asnaf yang lain. Program Bantu Diri Sosial ini mewujudkn sistem sirkularistik aktif yang bersifat penghasilan natijah dan outcome yang menyebabkan golongan sasaran kembali kepada peranan individu melalui ibadah zakat dengan mengeluarkan zakat kepada diri, keluarga dan negara dan ia yang tidak bersifat statik.

Saya berpandangan pelaburan wang zakat untuk membangunkan minda, spiritual dan material asnaf ini biarlah menyeluruh bebas dari pengaruh tali kekeluargaan dan pengaruh fahaman sempit tertentu sehingga program ini berjaya sepenunya. Sudah pasti ia memerlukan kolabrasi dan khidmat nasihat dari agensi-agensi Kerajaan yang telah berjaya melaksanakannya sebelum ini seperti MARA, Jabatan Pertanian, Jabatan Perikanan, Pejabat Daerah dan lain-lain agensi yang berkaitan.
Perkara lain yang juga merupakan perkara penting ialah institusi zakat juga pelu bijak mempromosi dan menerokai mencari pasaran utk memasrkan hasil keluaran asnaf sebagaimana kerjasama yg dilakukan oleh Kerajaan Negeri Perak dalam menjalinkan kerjasama dengan TESCO dan beberapa gudang jualan pasaraya lain untuk memasarkan produk-produk hasil pengeluaran asnaf yg terlibat aktiviti pengeluaran dalam industri kecil.

Semua pengalaman dan aktiviti di atas amat berat untuk dilakukan. Namun, berpaksikan kepada amanah yag Allah telah pertanggungjawabkan bersamalah kita bergerak untuk mentransformasi institusi zakat di Malaysia dalam usaha membangunkan asnaf ini kepada yang lebih cemerlang dan gemilang.

Sekadar pandangan dan menceritakan pengalaman kerja, mohon maaf atas segala keterlanjuran bahasa dan kata-kata saya. Segala yang sempurna dan baik itu dari Allah swt jua, yang kurang sempurna itu atas kelemahan diri saya jua.
Wallahu ta'ala a'lam.

Thursday, August 12, 2010

Isu Pengurusan Kewangan Di Pejabat Daerah Dan Tanah

PENGURUSAN WANG AWAM:
KEKANGAN DAN STRATEGI PENYELESAIAN; TINJAUAN UMUM PERMASALAHAN DI PEJABAT DAERAH DAN TANAH

PENDAHULUAN


Kecemerlangan dan ketelusan Pengurusan Kewangan Sektor Awam adalah instrumen teragong dalam menghasilkan kebolehpercayaan tadbir urus wang negara dan rakyat. Keterakuran dan ketertiban dalam tadbir urus Kewangan Sektor Awam akan menjamin keyakinan orang awam, peniaga swasta dan pelabur asing untuk mengambil bahagian bagi merancakkan kitaran aliran tunai dalam usaha memacu ekonomi negara yang sihat.

2. Tugas untuk melaksanakan Pengurusan Kewangan Awam yang cekap dan efisen di kementeiran, jabatan dan khususnya di Pejabat Daerah Dan Tanah merupakan satu amanah dan tanggungjawab besar setiap penjawat awam. Ia menuntut lonjakan paradigma terhadap penghayatan nilai integriti dan akauntabiliti yang tinggi bukan sahaja dalam pemikiran, bahkan juga dalam tindakan. Penjawat awam yang jiwanya tidak diisi dengan tulus akan nilai integriti dan akauntabiliti yang tinggi, akan menyediakan ruang untuk berlakunya aktiviti negatif seperti penyelewengan, pembaziran, pemborosan dan rasuah. Perlakuan negatif yang gagal ditangani ini akan membantutkan iltizam dan usaha Kerajaan untuk menzahirkan kecekapan dan ketelusan dalam Pengurusan Kewangan Sektor Awam umpama ‘menyiram air di daun keladi’.

3. Slogan ‘membetulkan yang biasa dan membiasakan yang betul’ dan langkah Kerajaan melaksanakan ‘Indeks Akauntabaliti’ pada 2007 dalam Pengurusan Wang Awam di semua agensi Kerajaan adalah antara komitmen komprehensif Kerajaan. Ia bertujuan melahirkan penjawat awam yang berupaya melaksanakan amanah mentadbir Wang Awam dengan cekap, telus dan berkesan mengikut prosedur melalui tanda aras yang ditetapkan. Ini penting supaya agihan sumber dana negara berdasarkan keutamaan dengan menggunakan kawalan tertentu dapat mencapai objektif dan impak yang ditetapkan Kerajaan. Pengurusan Kewangan yang cekap, telus dan berkesan di Pejabat Daerah Dan Tanah akan menyumbang kepada kemakmuran pembangunan di peringkat daerah supaya setiap ringgit yang diterima dan dibelanjakan akan memberikan manfaat dan impak yang optima (value for money) kepada rakyat.


LATAR BELAKANG

4. Pengurusan Kewangan ditakrifkan sebagai satu proses di mana sebuah organisasi perlu mematuhi tatacara dan peraturan yang ditetapkan untuk memperolehi dan menggunakan sumber berdasarkan kepada objektif tertentu. Ia merangkumi perancangan, pelaksanaan, penyelarasan, pengawalan dan penilaian kewangan .

5. Integriti berasal dari perkataan latin ʻintegritas’ yang bermaksud tidak terjejas, kukuh, benar dan boleh dipercayai. Dari sudut terminologi, integriti penjawat awam didefinisikan sebagai melaksanakan amanah dan kuasa yang dipertanggungjawabkan menurut kepentingan umum. Penjawat awam tidak boleh menyalahgunakan kuasanya untuk kepentingan diri, keluarga, saudara mara atau kaum kerabat sendiri. Apabila berlaku konflik kepentingan, ia mesti diselesaikan dengan memberi keutamaan kepada kepentingan awam. Dengan demikian, penjawat awam itu perlu telus dan tulus, harus memikul pertanggungjawaban terhadap ketuanya, orang di bawahnya dan pihak lain .

6. Akauntabiliti pula berasal daripada perkataan Inggeris iaitu accountable yang bermaksud kebertanggungjawaban. Dari sudut istilah akauntabiliti ditakrifkan sebagai tanggungjawab yang dipikul untuk mengekal dan mengurus prestasi yang telah dipertanggungjawabkan (diperturunkan kuasa) oleh pemilik kuasa kepada mereka yang diberikan kuasa untuk menjalankan kewajipan memelihara harta dan meningkatkan pencapaian berdasarkan undang-undang dan tempoh masa yang dipersetujui dan bertanggungjawab dengan tindakannya .

7. Pada peringkat persekutuan, Menteri Kewangan bertanggungjawab secara keseluruhan berhubung dengan Pengurusan Kewangan Kerajaan. Menteri Kewangan juga boleh menurunkan kuasa kepada Pegawai Pengawal bagi merancang, melaksana dan menilai Pengurusan Kewangan Sektor Awam. Pegawai Pengawal adalah pegawai yang dilantik oleh Menteri Kewangan bagi Kerajaan Persekutuan, atau Pegawai yang dilantik oleh Menteri Besar/ Ketua Menteri bagi Kerajaan Negeri . Di peringkat pentadbiran daerah, Pegawai Daerah dipertanggungjawabkan sebagai Pegawai Pengawal di Pejabat Daerah Dan Tanah.

8. Pengauditan pengurusan kewangan merupakan pengauditan pematuhan yang dijalankan untuk menentukan samada pengurusan kewangan di Pejabat Daerah Dan Tanah dilaksanakan mengikut undang-undang dan peraturan kewangan yang berkaitan dan bukan sahaja aspek pengurusan kewangan dipatuhi, malah merangkumi aspek pengurusan yang menyeluruh di setiap Pejabat Daerah Dan Tanah.

SEPINTAS LALU ISU KELEMAHAN PENGURUSAN KEWANGAN SEKTOR AWAM

9. Berdasarkan Laporan Ketua Audit Negara Tahun 2008 merujuk kepada Penyata Kewangan bertarikh 31 Disember 2008, terdapat beberapa kelemahan yang biasa dilakukan oleh Pegawai Pengawal dan merupakan kesalahan yang berulang dalam Pengurusan Kewangan Sektor Awam iaitu:

9.1 Perbelanjaan Peruntukan Mengurus Tidak Mengikut Peraturan:
9.1.1 Perbelanjaan Tanpa Peruntukan berjumlah RM522,155.58 melibatkan 8 kes di 6 buah kementerian/ jabatan persekutuan; dan

9.1.2 Perbelanjaan Melebihi Peruntukan berjumlah RM5.7 bilion melibatkan 317 kes di 34 buah kementerian/ jabatan persekutuan. Walau pun, peruntukan tambahan berjumlah RM3.61 bilion telah pun diluluskan oleh Parlimen pada bulan Mac 2009 bagi menampung lebihan perbelanjaan tersebut.

9.2 Kelemahan Perancangan Dan Pemantauan:

9.2.1 Peruntukan Tidak Dibelanjakan berjumlah RM87.08 juta melibatkan 105 kes di 25 buah kementerian/ jabatan persekutuan; dan

9.2.2 Tambahan Peruntukan Tidak Dibelanjakan berjumlah RM48.23 juta melibatkan 92 kes di 25 buah jabatan/ kementerian persekutuan malahan peruntukan asal juga masih mempunyai baki berjumlah RM84.76 juta.

9.3 Peningkatan Kes Dan Jumlah Pembayaran Melangkaui Tempoh Kewangan Semasa Di Bawah Arahan Perbendaharaan 58(a)
Bayaran di bawah Arahan Perbendaharaan 58(a) mendapati bayaran berjumlah RM856.57 juta telah dibuat pada tahun 2008 berbanding RM292.45 juta pada tahun 2007, peningkatan sejumlah RM564.12 juta (192.9%) oleh 39 Kementerian/Jabatan Persekutuan.


FAKTOR PENYEBAB YANG MEMPENGARUHI KELEMAHAN PENGURUSAN KEWANGAN AWAM DI PEJABAT DAERAH DAN TANAH

10. Bagi menganalisa faktor penyebab yang menyumbang kepada kepincangan dan kelemahan Pengurusan Kewangan Sektor Awam, kaedah analisis yang saya gunakan adalah melalui analisis SWOT dan Tulang Ikan Ishikawa sebagaimana di bawah:

10.1 Analisis SWOT faktor penyebab menyumbang kepada kepincangan Pengurusan Kewangan Sektor Awam:

STRENGTH (KEKUATAN)
• Akta/ Dasar Kerajaan/ Arahan dan Pekeliling Perbendaharaan
• Panduan Kerja/ Prosedur Kerja
• Indeks Akauntabiliti
• Pelan Integriti Nasional
• Aktiviti/ Entiti Pemurnian/ Pemantauan/ Penguatkuasaan seperti IIM, Audit Negara, BPA, PAC, SPRM, SPA dan lain-lain

WEAKNESSES (KELEMAHAN)
• Pembaziran -Belanja Melebihi Peruntukan
• Salah Guna Kuasa/ Sumber –sangat mahir selok belok Pengurusan Kewangan
• Penyelewengan –terlalu lama terlibat dalam pengurusan kewangan
• Kurang Pendidikan Agama (Kerohanian)/ Moral –kurang faham halal/ haram
• Sistem/ Prosedur Kerja Lapuk –tidak dikemaskini
• Lemah Kawalan/ Pemantauan Oleh Ketua Jabatan –Tiada mekanisme pemantauan/ pelaporan
• Kurang Pengetahuan Berkaitan ‘core business’ -Ketua Jabatan/ pegawai baru
• Pemikiran/ Sikap Negatif Pegawai -utama kepentingan peribadi
• Aplikasi Teknologi Lapuk
• Tindakan Punitif Kurang Berkesan
-OKT tidak takut dengan hukuman
• Kurang Sokongan Pengurusan Tertinggi Organisasi -kurang galakan/ serius patuhi peraturan
• Teknologi lama/teknologi tidak stabil
• Tiada Kod Etika/ Nilai Murni Perkhidmatan


OPPORTUNITIES (PELUANG)
• Tawaran Perkongsian Keuntungan Yang Menarik Daripada Pihak Pembekal/ Kontraktor Kepada Pegawai
• Wujud Galakan Daripada Pengurusan Tertinggi Organisasi
• Hubungan Erat Pegawai Dengan Pembekal/ Kontraktor
• Hubungan Kekeluargaan Pegawai Dengan Pembekal/ Kontraktor


THREATS (ANCAMAN)
• Camputangan Ahli Politik
• Tindakan Pemulauan Ahli Organisasi
• Ancaman/ Ugutan Negatif Pihak Berkepentingan
• Ditukar Tempat Bertugas Enggan Bekerjasama
• Pemikiran Masyarakat/ Persekitaran Yang Negatif Suka Meminta

10.2 Berdasarkan analisis SWOT di atas dengan merujuk ruang kelemahan (weaknesses), saya menggunakan rajah Tulang Ikan Ishikawa untuk menjelaskan dengan lebih spesifik setiap isu yang menjadi faktor penyebab keuzuran Pengurusan Kewangan Sektor Awam di Pejabat Daerah Dan Tanah. Rajah Ishikawa ini pada kebiasaan dipersembahkan secara horizontal tetapi diubahsuai kepada vertical sebagai inovasi persembahan ini semata-mata sebagaimana di bawah:

11. Bagi menerangkan faktor pendorong keberterusan berlakunya kekangan Pengurusan Kewangan Sektor Awam, huraian dan penjelasan seperti berikut:

11.1 Kepimpinan Organisasi

Wujud segelintir pengurusan tertinggi Pejabat Daerah Dan Tanah yang kurang memberikan komitmen dan sokongan kepada pegawai bawahan yang bersungguh-sungguh dalam melaksanakan Pengurusan Kewangan Awam dengan penuh integriti dan akauntabiliti. Pengalaman mengajar saya bagaimana tindakan di luar nilai integriti sebilangan Pengurusan Tertinggi mengarahkan ahli-ahli Jawatankuasa Sebutharga Projek Kecil Peringkat Daerah untuk melaksanakan syornya melantik kontraktor yang jelas tidak memenuhi syarat kelayakan untuk melaksanakan kerja fizikal persekutuan walau pun tidak dipersetujui ahli-ahli mesyuarat yang lain.

Sekelompok kecil pemimpin organisasi di Pejabat Daerah Dan Tanah tertentu kurang mengamalkan contoh kepimpinan terbaik dalam melaksanakan Pengurusan Kewangan Awam. Wujud aktiviti yang sanggup berkompromi perkara yang tidak teratur dengan nilai-nilai integriti dan akauntabiliti bersama pihak ketiga. Tindakan ini boleh mempengaruhi minda dan tindakan pegawai bawahannya untuk melaksanakan tindakan negatif yang sama dalam tadbir urus kewangan. Dalam tempoh hampir tiga (3) tahun saya di dua (2) buah Pejabat Daerah Dan Tanah, sebanyak dua (2) kali SPRM datang membuat siasatan ekoran aduan pihak lain berlakunya salah guna kuasa dalam urusan perolehan projek/ bekalan di pejabat berkenaan. Selain itu, tindakan tatatertib yang sekadar melepaskan batuk di tangga dan tidak mendatangkan kesan dan keinsafan kepada pegawai yang bersalah juga mempengaruhi kepincangan Pengurusan Wang Awam.

11.2 Faktor Persekitaran

Campur tangan ahli politik antara faktor penyumbang utama mempengaruhi kekalutan pelaksanaan Pengurusan Wang Awam. Penganugerahan kerja fizikal dan bekalan/ perkhidmatan tanpa perakuan daripada atau melalui sesetengah pemimpin politik telah memburukkan imej dan kredibiliti ketelusan Pengurusan Wang Awam di Pejabat Daerah Dan Tanah.

Pengaruh pemimpin tempatan seperti Ketua Kampung, Ketua Komuniti dan Ketua Institusi Agama juga menyumbang kepada kebejatan tadbir urus wang awam melalui tuntutan dan permintaan yang bermacam-macam di luar kawalan peraturan kewangan. Penentuan jenis skop kerja dan penetapan tempat yang mencampuri urusan pelaksanaan projek/ bekalan menyebabkan sesetengah perbelanjaan program/ projek melebihi bajet atau peruntukan dan mengambil tempoh siap kerja di luar jangkaan jabatan.

Selain itu, pengaruh ahli keluarga, saudara mara dan rakan taulan juga boleh mengheret penjawat awam untuk berkompromi dan mengurus wang awam di luar pematuhan peraturan kewangan yang berkuatkuasa. Keputusan dibuat berdasarkan pilih kasih bukan berdasarkan syarat kelayakan yang menjadi kriteria pemilihan. Bahkan ada pembekal/ kontraktor yang berani menawarkan habuan kebendaan tertentu dan wang tunai kepada pegawai awam supaya berkompromi dengannya.

11.3 Faktor Pegawai

Faktor paling besar dalam merealisasikan Pengurusan Wang Awam yang berintegriti dan berakauntabiliti adalah pegawai. Pembentukan pemikiran dan tindakan yang holistik berhubung dengan pendidikan keagamaan dan tauhidik atau nilai moral sangat membantu mengatasi kelemahan Pengurusan Wang Awam. Namun, sikap dan pemikiran positif penjawat awam di Pejabat Daerah Dan Tanah berbeza berbanding penjawat awam di peringkat kementerian/ jabatan persekutuan.

Meletakkan kepentingan peribadi dan keluarga mengatasi kepentingan umum menjadikan tugas mengurus kewangan semakin pincang dan kritikal. Pegawai yang menjalankan tugas kewangan terlalu lama di satu-satu tempat telah mewujudkan jaringan hubungan kerja yang kukuh. Situasi ini boleh mendorong untuk melakukan penipuan, penyelewengan dan salah guna kuasa kerana terlalu mahir selok belok pengurusan kewangan jabatan.

Tidak dinafikan elemen kepakaran/ pengalaman untuk menjalankan tugasan kewangan sangat diperlukan. Proses pertukaran pegawai pengurusan kewangan yang kerap sering mendatangkan masalah kepada proses kewangan seperti pindah peruntukan, pengemaskinian belanjawan dan rekod maklumat akan tidak dapat diselenggara dengan teratur dan lengkap disebabkan kurang cekap, kurang pengetahun dan kurang latihan.

11.4 Teknologi/ ICT

Teknologi yang digunapakai di Pejabat Daerah Dan Tanah masih ketinggalan berbanding di kementerian/ jabatan persekutuan. Bagi mengenalpasti kedudukan tanah strategik dan lokaliti bagi tujuan untuk ukur sempadan, Jabatan Ketua Pengarah Tanah Dan Galian (JKPTG) dan Jabatan ukur Dan Pemetaan Malaysia (JUPEM) telah lama menggunakan kaedah Geographyc Information System (GIS) yang menggunakan signal satelit untuk kenalpasti lokaliti dan sempadan tanah yang di kawasan pedalaman hutan. Di sebabkan kekangan kewangan, teknologi tidak dapat digunakan dan mengakibat pegawai masih menggunakan kaedah manual.

Sistem pangkalan data dan permohonan tanah secara on line kemudahan ICT e-Tanah yang tidak stabil dan tidak dapat digunakan mengikut spesifikasi entiti kepenggunaan yang diperlukan di Pejabat Daerah Dan Tanah telah mengundang polemik terhadap pembangunan sistem berkenaan yang menelan duit rakyat berjumlah RM1.3 bilion di empat (4) buah Pejabat Daerah Dan Tanah perintis bagi projek berkenaan. Sehingga kini projek tersebut gagal berfungsi sepenuhnya.

Pendekatan ‘paperless’, email, internet dan sistem kewangan baru seperti e-Terimaan bagi proses pungutan hasil Kerajaan adalah telus dan selamat. Namun, sebaliknya yang berlaku melalui aplikasi komputer terimaan hasil di Pejabat Daerah Dan Tanah berkurangan berbanding kaedah kutipan hasil secara manual yang dilaksanakan sebelum ini. Selain itu, di Pejabat Daerah Dan Tanah yang masih menggunakan sistem perisian komputer yang lama yang jauh ketinggalan 10 tahun terkebelakang. Ini menyebabkan pengurusan kewangan jabatan menjadi kurang efisyen dan tidak sistematik.

11.5 Sistem/ Prosedur Kerja

Kebanyakan sistem dan prosedur kerja sedia ada di Pejabat Daerah dan Tanah tidak dikemaskini mengikut perubahan terkini. Keadaan ini akan mempengaruhi prestasi dan produktiviti organisasi. Manual Prosedur Kerja (MPK) dan Fail Meja (FM) hendaklah diselaras sejajar dengan perubahan dasar penyampaian perkhidmatan Kerajaan di samping memenuhi hala tuju organisasi. MPK dan FM hendaklah selari dengan sistem semasa Kerajaan seperti e-KL, HRMIS, eSPKB dan My eG.

Laporan Ketua Audit Negara Tahun 2008, masih wujud jabatan di peingkat daerah seperti pejabat kesihatan daerah dan pejabat pelajaran daerah yang belum lagi mempunyai sistem merekod dokumen yang sistematik dan sistem pengurusan pergerakan fail yang baik. Ini akan menyumbang kepada masalah ketidakpatuhan kepada peraturan kerja dan boleh menyumbang kepada kemerosotan produktiviti, sistem penyampaian, dan masalah integriti penjawat awam.

Kawalan, pemantauan dan kaedah pelaporan yang longgar dan tidak menyeluruh menjejaskan imej dan reputasi Pengurusan Kewangan Awam. Di peringkat negeri, perbelanjaan dilakukan oleh Pengawai Pengawal di Pejabat Daerah Dan Tanah wajar dibentang di peringkat Pihak Berkuasa Negeri sebagai keselarasan pemantauan dan pelaporan antara agensi pemberi peruntukan seperti Unit Penyelarasan dan Pelaksanaan (ICU), Kementerian Kemajuan Luar Bandar Dan Wilayah (KKLW), Unit Perancang Ekonomi Negeri (UPENg) dan Pejabat Daerah dan Tanah.

CADANGAN STRATEGI DAN PELAN TINDAKAN MENAMBAH BAIK TADBIR URUS WANG AWAM DI PEJABAT DAERAH DAN TANAH

12. Berasaskan kepada faktor penyumbang yang mempengaruhi kekangan dan kelemahan Pengurusan Kewangan Sektor Awam, saya ingin mencadangkan beberapa strategi dan pelan tindakan yang pada pandangan saya berupaya mengatasi kekangan dan kelemahan tadbir urus wang awam di Pejabat Daerah Dan Tanah. Antaranya:

12.1 Strategi 1: Memupuk Pendidikan Tauhidik/ Moral Bersifat Holistik Penjawat Awam

a) PROGRAM
Pendidikan Dan Bimbingan Agama/ Moral

PELAN TINDAKAN
Melaksanakan sesi pengajaran dan pembelajaran bersifat ketauhidan dan kepercayaan agama secara menyeluruh (tidak menjurus kepada sembahyang, puasa, ibadah haji dan zakat sahaja bahkan dalam diperluaskan dalam konteks kehidupan, kerja, komunikasi, interaksi dan lain-lain) secara berkala selama 30 minit, setiap minggu pada sesi morning call.

b) PROGRAM
Lawatan Pendidikan Ke Mahkamah/ Penjara/ Pusat Tahanan

PELAN TINDAKAN
Pendidikan kognitif melalui lawatan berkala sebulan sekali atas kepentingan perkhidmatan dengan agensi penguatkuasa Kerajaan seperti SPRM, PDRM, Penjara, Imigresen, Mahkamah bertujuan untuk memberi kesedaran (recognizing) atas hukuman bakal diterima. Ia juga sebagai bentuk pencegahan (preventive) kepada penjawat awam Pejabat Daerah dan Tanah untuk menjauhkan diri daripada rasuah, penyelewengan dan salah guna kuasa/ sumber.

c) PROGRAM
Latihan Pembinaan Jati Diri/ Identiti dan Personaliti

PELAN TINDAKAN
Latihan/ seminar/ kursus khusus Penjawat Awam Pejabat Daerah Dan Tanah dengan Pembinaan Jati Diri/ Identiti/ Personaliti yang sama dilaksanakan di kementerian/ jabatan persekutuan sekurang-kurangnya empat (4) kali setahun atau tiga (3) bulan sekali menggunakan tenaga pakar dari agensi persekutuan seperti BTN, IIM, INTAN, INSTUN dan SPRM. Set pemikiran dan sikap perlu dibentuk dan dipupuk supaya selari dengan set pemikiran penjawat awam di kementerian/ jabatan persekutuan bagi melahirkan satu identiti dan personaliti selaras dengan Gagasan 1Malaysia: Rakyat Didahulukan, Pencapaian Diutamakan.


12.2 Strategi 2: Pelaksanaan Nilai Integriti Dan Akauntabiliti Secara Total

a) PROGRAM
Program Kursus/ Seminar/ Latihan


PELAN TINDAKAN
Penerapan Nilai Integriti Kursus/ latihan integriti kepada semua pegawai awam di Pejabat daerah Dan Tanah setiap tiga (3) bulan kerjasama Jabatan Audit Negara, Institut Integriti Malaysia, Perbendaharaan dan Cawangan Tatatertib JPA menjelaskan perihal integriti.

b) PROGRAM
Pelaksanaan Indeks Akauntabiliti Melalui Program Anak Angkat

PELAN TINDAKAN
Melaksanakan Indeks Akauntabiliti di semua Pejabat Daerah Dan Tanah seluruh Negara. Sebagai perintis, Jabatan Audit Negara disyorkan memilih enam (6) buah Pejabat Daerah Dan Tanah iaitu empat (4 ) buah di Semenanjung dan masing-masing satu (1) buah di Sabah dan Sarawak untuk dijadikan Program Anak Angkat di bawah program pemantauan langsung Pengurusan Kewangan Awam oleh Jabatan Audit Negara untuk tambah baik tadbir urus wang awam di peringkat pentadbiran daerah.

12.3 Strategi 3: Pemantapan Nilai Pemikiran Murni Dan Sahsiah Unggul Pemimpin Organisasi

a) PROGRAM
Pembinaan Intelectual Quotient (IQ), Self Spiritual Quotient (SQ) dan Emotion Quotient (EQ) Dalam Diri Pemimpin


PELAN TINDAKAN
Satu program pemantapan bersepadu secara hands on merangkumi pemikiran positif, kerohanian relative keimanan dan emosi murni kepada Ketua Penolong Pegawai Daerah dan Pegawai Daerah melalui pembelajaran berterusan dan berkala sekurang-kurangnya tiga (3) kali setahun bersama pakar psychology. Ilmu peribadi IQ, SQ dan EQ yang diperolehi kelak wajar dikongsi bersama pegawai-pegawai lain di Pejabat Daerah Dan Tanah dalam pelbagai bentuk seperti blended approach, program Mentor Mentee dan Program Perkongsian Ilmu sebulan sekali. Ini mengeratkan ikatan keorganisasian pengurusan dan pegawai bawahan untuk laksanakan amanah dan tanggungjawab dengan teratur dan tepat.

b) PROGRAM
Pembinaan Kemahiran Komunikasi Berkesan Dan Seni Berunding Berhemah Dengan Stake Holder


PELAN TINDAKAN
Penjawat awam dan Anggota Pentadbiran/ Ahli Parlimen (AP)/ Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN)/ Pemimipin Tempatan/ Peniaga perlu saling hormat menghormati dan memerlukan untuk kelangsungan tadbir urus Kerajaan yang baik dan konsisten. Kemahiran Komunikasi Berkesan dan Seni Berunding Berhemah perlu dijadikan ilmu wajib Pegawai Tertinggi sebelum ditempatkan di Pejabat Daerah Dan Tanah. Ia ‘tools’ penting untuk wujudkan hubungan harmoni dan professionalisme penjawat awam dengan stake holder agar dapat mencari titik penyelesaian terbaik dan win-win membuat keputusan dalam konteks pelaksanaan perolehan dengan mematuhi tadbir urus kewangan yang betul.

c) PROGRAM
Aktiviti Kawalan, Pemantauan Dan Pelaporan

PELAN TINDAKAN
Wujudkan mekanisme aktiviti kawalan di peringkat Pejabat Daerah Dan Tanah secara berkala seperti peringkat dalaman dua (2) minggu sekali untuk pantau pengurusan kewangan. Pelaporan di peringkat luaran ke peringkat Pihak Berkuasa Negeri dengan keselarasan semua agensi seperti ICU, KKLW, UPENg secara berkala sekali sebulan.

d) PROGRAM
Pembentukan Kod Etika, Nilai Murni

PELAN TINDAKAN
Mewujudkan kod etika perkhidmatan yang perlu dihayati oleh warga Pejabat Daerah Dan Tanah supaya setiap tindakan dan perkhidmatan berlandaskan kod etika yang telah digagaskan seperti profesionalisme, berhemah, tekun, wibawa, bekerja satu kumpulan, integriti.


12.4 Strategi 4: Menambahbaik Aplikasi Teknologi/ ICT

a) PROGRAM
Penggunaan Teknologi Terkini


PELAN TINDAKAN
Pejabat Daerah Dan Tanah sewajarnya diberikan peruntukan kewangan yang cukup untuk menggunakan Sistem GIS dan Remote Ariel Survey bagi meningkatkan penyampaian perkhidmatan kepada rakyat terutamanya pengurusan tanah bagi mengelakkan berlakunya isu integriti dan akauntabiliti seperti tuntutan bertindih ke atas lokasi tanah yang sama lantaran aktiviti ukur sempadan dan kenalpasti lokasi masih gunakan kaedah manual di kawasan jauh pedalaman/ hutan yang sukar dimasuki.

b) PROGRAM
Tambahbaik Kelengkapan Asas ICT Di Pejabat Daerah Dan Tanah


PELAN TINDAKAN
Mewujudkan pangkalan data tanah di peringkat Pejabat Daerah Dan Tanah selaras dengan pangkalan data di Pejabat Tanah Dan Galian Negeri supaya urusan terimaan hasil secara ‘online’ dapat dipantau dan dikawal daripada berlaku penyelewengan di peringkat daerah. Selain itu, kelengkapan asas ICT seperti kemudahan internet, lap top, desktop dengan perisian terkini, mesin faks yang terbaik dan stabil untuk kecepatan dan tepat dalam tindakan.


RUMUSAN

13. Pekerja cemerlang, organisasi gemilang. Organisasi terdiri daripada sekumpulan manusia yang diikat dengan peraturan, visi, misi dan bekerjasama untuk capai matlamat dan objektif organisasi. Ini bermakna manusia merupakan komponen utama penggerak organisasi dan sistem kerja. Pegawai yang cemerlang dari segi spiritual, emosi dan berintegriti menjadi tunjang besar kepada kegemilangan organisasi dan sistem kerja. Penjawat Awam di Pejabat Daearah Dan Tanah yang beramanah dan bertanggungjawab mampu mengagenda dan mengurus Pengurusan Kewangan Awam dengan teratur bagi menjamin kecemerlangan prestasi dan produktiviti. Perbelanjaan wang rakyat pada tempat yang betul dan teratur akan memberi impak (outcome) dan kepercayaan rakyat terhadap Kerajaan.



SUMBER RUJUKAN

1. Akta Acara Kewangan 1957;

2. Laporan Ketua Audit Negara Tahun 2008;

3. Kecemerlangan Pengurusan Kewangan Dari Perspektif Jabatan Audit Negara, 2008, Jabatan Audit Negara, Institut Tadbiran Awam Negara Kuala Lumpur;

4. Pelan Integriti Nasional, 2004, Putrajaya;

5. Tadbir Urus Korporat: Ke Arah Tadbir Urus Berkualiti Dalam Sektor Awam Dan Swasta, Ahmad Atory Hussain, 2007, Utusan Publication & Distributors Sdn Bhd; Kuala Lumpur; dan

6. Gagasan Pemimpin: Koleksi Ucapan Pengurus Tertinggi Jabatan Perkhidmatan Awam, 2006, Putrajaya.

Tuesday, July 27, 2010

Pengurusan Sumber Manusia Berteraskan Kompetensi

ABSTRAK

Amalan Pembangunan Pengurusan Sumber Manusia (PSM) berteraskan kompetensi dalam Perkhidmatan Awam merupakan tindakan progresif dan secara berterusan Kerajaan untuk menjadikan pengurusan sumber tenaga insan sektor awam ditadbir urus dengan cekap, tepat, cepat dan berkesan supaya agensi Kerajaan memberikan perkhidmatan yang optima, mampu ‘berdiri sama tinggi dan duduk sama rendah’ setanding dengan kedinamikan perkhidmatan agensi sektor swasta dan kecemerlangan perkhidmatan negara-negara maju di peringkat antarabangsa. Hubungan positif dan signifikan PSM berteraskan kompetensi yang cekap dan berkesan akan menjamin kepada penyampaian perkhidmatan Sektor Awam yang berkualiti, berintegriti dan berakauntabiliti. Situasi ini memberi impak yang tinggi untuk memperkasa kepercayaan rakyat di peringkat nasional dan masyarakat antarabangsa terhadap best practises dan excellent governance yang diamalkan dalam Sektor Awam dalam usaha mencapai matlamat sebuah negara maju yang efekif lagi kompetitif pada tahun 2020. Tadbir urus yang cekap dan berkesan beteraskan kompetensi sebagai medium pengintegrasian dan alat pengukur kesemua amalan PSM ini akan melahirkan sumber tenaga insan Sektor Awam yang cakna kepada ilmu pengetahuan, kemahiran dan penghayati nilai-nilai murni positif yang tinggi. Ia juga sebagai platform untuk menyiapkan penjawat awam dengan pelbagai keperluan disiplin ilmu, kemahiran dan sikap positif supaya agensi Sektor Awam dapat memberi perkhidmatan yang berupaya memenuhi keperluan persekitaran dan permintaan pelanggan yang sentiasa berubah dan tidak terjangkau sehinga ke peringkat global pada era semasa dan hadapan.

PENDAHULUAN

Berdasarkan catatan sejarah, Pengurusan Sumber Manusia (PSM) telah muncul seawal tahun 1000 hingga 2000 S.M. Ia lahir apabila berlakunya perkembangan terhadap kemajuan sektor pembuatan, pertanian, industri dan perladangan yang menyediakan peluang pekerjaan yang melibatkan wujudnya aktiviti interaksi dan komunikasi serta produktiviti yang mengilhamkan wujudnya hubungan majikan dan pekerja.

2. Keperluan PSM yang lebih dinamik dan strategik ini muncul semasa berlakunya revolusi industri. Ia berpunca ekoran berlakunya perubahan proses pembuatan daripada sistem pengeluaran secara kecilan di rumah kepada pengeluaran produktiviti secara besaran di kilang. Selain itu, faktor peralihan kegiatan ekonomi daripada sektor pertanian kepada sektor industri dan kebanjiran imigran dalam pasaran buruh telah mempengaruhi PSM kepada satu sistem yang lebih sistematik dan teratur .

3. Perkara induk dan elemen teknik yang digunapakai dalam PSM ini telah mengalami revolusi berdasarkan perkembangan zaman dan peredaran masa. Pada asalnya, PSM ini hanya menggunakan pendekatan bersifat sosial dan kebajikan. Kemudian, menjurus kepada pendekatan produktiviti, dan menfokus pula kepada prestasi dan kecekapan. Seterusnya, ia berkembang dengan penekanan terhadap penambahbaikan kerjaya, kepuasan kerja, penambahbaikan sistem dan struktur kerja. Pada akhir 1970-an, setiap organisasi telah mempunyai program PSM sendiri dengan menekankan aspek kompetensi sebagai teras dalam amalan PSM mereka.

PENGENALAN

4. Dalam sektor awam Malaysia, amalan PSM berteraskan kompetensi ini telah mula dilaksanakan mulai 1 November 2002. SSM ini dilaksanakan sebagai langkah penambahbaikan berterusan dan komitmen Kerajaan terhadap pelaksanaan pengurusan sumber daya insan negara yang dinilai dan ditadbir berdasarkan kekompetenan yang dimiliki oleh penjawat awam. Langkah dan tindakan progresif Kerajaan ini adalah bagi menambah nilai sistem pengurusan sumber manusia Sektor Awam yang sebelum ini penjawat awam hanya dinilai berdasarkan prestasi dan produktiviti sebagaimana yang telah dilaksanakan melalui Sistem Saraan Baru (SSB) mulai 1 Januari 1992.

5. Kompetensi lahir daripada idea McCelland (1973), seorang pakar psikologi Universiti Harvard. Beliau mendapati pencapaian akademik dan pengetahuan tidak menggambarkan prestasi kerja sebenar pegawai. Sebaliknya, kompetensi pegawai adalah elemen mampan yang wajar digunapakai untuk meramalkan prestasi sebenar daya saing sumber tenaga insan. Menurut beliau, elemen kompetensi pegawai di tempat kerja dapat mengurangkan bias tradisional terhadap sesuatu keputusan yang masih bersandarkan faktor rigid kaum, jantina dan sosio-ekonomi serta kelayakan.

6. Konsep ini mula digunakan dalam PSM oleh Boyatzis (1982) bagi membezakan di antara pengurus yang cemerlang berbanding pengurus yang tidak cemerlang. Beliau mendapati melalui elemen kompetensi, terdapat banyak faktor yang terlibat dalam menentukan kejayaan pegawai dalam melaksanakan kerja seperti kualiti, motif, pengalaman dan ciri-ciri perilaku positif yang dimiliki oleh pengurus yang mempunyai prestasi cemerlang .
7. Dalam konteks perbincangan ini, saya titipkan beberapa definisi PSM dan kompetensi dari perspektif Islam dan barat untuk informasi bersama, antaranya:

7.1 PSM merujuk kepada satu proses secara kolektif dalam membina manusia supaya manusia itu dapat hidup selesa, bebas daripada tekanan kebendaan dan kerohanian merangkumi aspek keorganisasian, latihan, pengurusan salah laku (tatatertib) dan kebajikan ;

7.2 PSM adalah satu proses pengemaskinian dan pembaikan kualiti daya tenaga kerja insan meliputi aspek ilmu, kemahiran, minda, sikap dan perwatakan yang disesuaikan dengan realiti perubahan yang berlaku demi kelangsungan (survival) prestasi dan produktiviti organisasi ; dan

7.3 Dessler (2000) mendefinisikan PSM sebagai “Is the linking of human resource management with strategic role and objectives in order to improve business performance and develop organizational cultures and foster innovation and flexibility”.

8. Dalam membincangkan maksud tersurat dan tersirat kompetensi, berikut beberapa definisi yang pada fikiran saya yang sesuai untuk diadaptasikan dalam Sektor Awam:

8.1 Boyatzis (1982) dalam bukunya berjudul ‘The Competent Manager’ telah mendefinisikannya sebagai ‘an underlying characteristic of a person which result in effective and/ or superior performance on the job’. Menurutnya, watak yang tersembunyi dalam diri seseorang pegawai itu dapat dikenalpasti melalui self image, traits, motives dan social roles serta pengetahuan dan kemahiran yang dimilikinya boleh mempengaruhi secara langsung ke atas prestasi kerja yang telah dihasilkan; dan

8.2 keperluan organisasi dalam menyediakan pengetahuan dan kemahiran dan ciri-ciri peribadi tertentu yang bersifat ‘multi skilled and adaptable wokers’ seperti ‘intellectual skills, relationship management skills, public service ethics, technological skills, self management skills and contract management skills’ dalam diri setiap pemilik kompetensi sebagai persiapan kepada perubahan keperluan Perkhidmatan Awam di masa hadapan .

9. Berdasarkan kepada penjelasan di atas, pengertian Pengurusan Sumber Manusia Berteraskan Kompetensi boleh disimpulkan sebagai ‘proses yang berstruktur dan teratur menglibatkan amalan-amalan Pengurusan Sumber Manusia seperti pemilihan/ lantikan, penempatan, latihan/ pembangunan kendiri, pengurusan prestasi, kenaikan pangkat/ kemajuan kerjaya dan ganjaran secara dinamik dan strategis berasaskan model kompetensi yang telah dikenalpasti oleh pengurusan tertinggi jabatan/ organisasi, dengan melibatkan juga penggubalan profil kompetensi jawatan/ tugas dan individu serta halatuju kompetensi yang membawa maksud diskripsi tertentu pada tahap kompetensi tertentu’.

LATAR BELAKANG

10. Amalan PSM yang menekankan kompetensi kepada semua penjawat awam berupaya membezakan penjawat awam yang berprestasi cemerlang berbanding penjawat awam yang berprestasi biasa. Dalam menjelaskan kesan kepentingan PSM berteraskan kompetensi ini, saya memetik contoh hasil kajian yang telah dilaksanakan oleh seorang pengkaji peringkat pengajian Ph.D, Universiti Sains Malaysia. Elemen perkhidmatan yang menjadi permasalahan kajian di atas adalah menjurus kepada sikap penjawat awam untuk menepati masa dalam semua tindakan yang dikaitkan dengan kompetensi.

11. Menurut Ilhaamie Abdul Ghani Azmi (2008) kecepatan dan menepati masa dalam bertindak merupakan antara ciri perkhidmatan berkualiti yang ditagih oleh pelanggan Sektor Awam. Menepati masa ketika memberikan perkhidmatan adalah tergolong dalam dimensi responsif. Hasil kajian, dalam keadaan tertentu, Perkhidmatan Awam mempunyai sedikit masalah untuk memenuhi harapan pelanggan dalam tempoh yang cepat dan pantas. Kesukaran untuk menepati masa semasa bertindak ini disebabkan oleh berapa faktor dan antara faktornya adalah kurang pengetahuan/ kemahiran penjawat awam dalam menjalankan tugas .

12. Kerajaan telah melaksanakan Sistem Saraan Malaysia (SSM) yang menekankan elemen kompetensi sebagai antara fokus dan teknik indikator utama dalam menilai amalan PSM sektor awam. Ia bertujuan melahirkan penjawat awam berpengetahuan yang dapat meningkatkan penyampaian perkhidmatan dan daya saing penjawat awam yang mampu memenuhi harapan pelanggan yang berubah-ubah .

13. SSM juga telah memperkasa daya saing penjawat awam untuk bertindak dengan lebih responsif dan cakna kepada perubahan persekitaran dan permintaan pelanggan yang berupaya memberikan perkhidmatan yang berkualiti kepada pelanggan. Ini kerana SSM menggunakan kompetensi sebagai integrasi dalam semua amalan PSM bagi melahirkan pekerja yang cekap, cemerlang dan berupaya memberikan perkhidmatan yang berkualiti kepada pelanggan.

SOROTAN USAHA-USAHA PERKHIDMATAN AWAM DALAM MEMBANGUNKAN PENGURUSAN SUMBER MANUSIA BERTERASKAN KOMPETENSI

14. Mantan Perdana Menteri, YABhg. Tun Abdullah Hj Ahmad Badawi ketika menyampaikan ucaptama ‘Mewujudkan Masyarakat Belajar Yang Fleksibel – Rakyat Sebagai Sumber Pertumbuhan Berdaya Tahan’ pada Forum Ekonomi di Jeddah pada 2004 menyarankan bagi memenuhi cabaran serta keperluan ke arah membentuk sumber manusia yang berdaya maju, strategik dan progresif, Malaysia perlu sentiasa memperbaharui sistem pendidikannya dari masa ke semasa. Pertambahan ilmu pengetahuan dan perilaku positif yang konsisten merupakan elemen terpenting untuk menghasilkan tenaga kerja berdaya tahan dan strategik bagi menjamin kesinambungan pembangunan dan kemajuan Sektor Awam. Antara usaha-usaha yang telah dilaksanakan Perkhidmatan Awam dalam membangunkan PSM berteraskan kompetensi seperti berikut:
14.1 Pelaksanaan Sistem Saraan Malaysia
Kerajaan telah melaksanakan Sistem Saraan Malaysia (SSM) yang menekankan elemen kompetensi. Pemilihan/ lantikan, penempatan, latihan/ pembangunan kendiri, pengurusan prestasi, kenaikan pangkat/ kemajuan kerjaya dan pemberian ganjaran penjawat awam adalah secara dinamik dan strategis berasaskan model kompetensi yang telah dikenalpasti oleh pengurusan tertinggi jabatan/ organisasi antara fokus dan teknik indikator utama dalam menilai amalan PSM sektor awam. Ia bertujuan melahirkan penjawat awam berpengetahuan yang dapat meningkatkan kecekapan penyampaian perkhidmatan dan daya saing penjawat awam yang mampu memenuhi kepuasan pelanggan.

14.2 Sistem Kemajuan Kerjaya Berlandaskan Kompetensi
Pelaksanaan Pusat Penilaian Kecekapan yang dahulunya dikenali dengan Penilaian Tahap Kecekapan (PTK). Mula diperkenalkan pada tahun 2003 dengan menggunakan model Kompetensi Iceberg sebagai asas yang meliputi elemen pengetahuan, kemahiran dan perilaku. Mengenalpasti dan menetapkan jenis kompetensi yang diperlukan mengikut jawatan, kumpulan perkhidmatan dan entiti perkhidmatan organisasi berdasarkan tahap kecekapan yang diperlukan. Selain itu, melaui Program Landasan Kerjaya (PLK HRMIS), kekompetenan penjawat awam bagi memudahkan laluan kerjaya ke jawatan yang lebih tinggi dan lebih sesuai, penjawat awam juga dinilai berdasarkan elemen tambahan lain seperti penglibatannya dalam penyediaan kertas kajian/ pembentangan di peringkat nasional/ antarabangsa, Anugerah Perkhidmatan Cemerlang yang diperolehi, tiada pertuduhan atau tindakan tatatertib atau disiplin, kursus, seminar yang dihadiri dan sumbangannya kepada organisasi, kelayakan akademik tambahan dimiliki (Diploma Lanjutan/Sarjana/ Ph.D), sikap dan perilaku positif dan murni yang dihayati dan inovasi yang disumbangkan dalam menjalankan tugas.

14.3 Pelaksanaan Balance Score Card (BSC) Mengukur Prestasi Orgnisasi
Pelaksanaan BSC ini dibangunkan oleh Robert Kaplan dan David Norton yang pada awalnya hanya menumpu kepada prestasi akaun/ kewangan dalam mengukur prestasi organisasi. Dalam Sektor Awam, BSC ini telah diinovasi untuk membangun dan mengukur prestasi produktiviti organisasi dan kompetensi penjawat awam berdasarkan empat (4) komponen iaitu prestasi, aktiviti, perhubungan dan masa depan. Komponen tersebut dihubungkan dengan prestasi mengikut tiga (3) peringkat masa iaitu prestasi telah lepas, prestasi semasa dan persaingan masa hadapan. BSC ini bukan sahaja membantu organisasi mencapai prestasi yang disasarkan, tepat dan mudah dikawal, bahkan menuntut penjawat awam mengemaskini diri dengan pelbagai kompetensi intrinsik dan ekstrinsik sejajar dengan gagasan K-Workers demi keunggulan pretasi organisasi awam pada masa mendatang.

14.4 Program Penempatan Pegawai Berorientasi Memperkasa Kompetensi
Pelaksanaan Program Cross Fertilization penjawat awam di syarikat Government Link Company seperti Petronas, TNB Bhd, Telekom (M) Bhd, di agensi swasta dan agensi antarabangsa seperti World Bank dan Islamic Development Bank (IDB) berdasarkan Pekeliling Perkhidmatan Bilangan 12 Tahun 2008 bertujuan untuk mengembangkan bakat-bakat terpilih sektor awam untuk mempertingkatkan daya saing, ilmu pengetahuan, kemahiran dan budaya kerja korporat mereka supaya pengalaman berguna dan nilai positif yang bersesuaian diterapkan dalam sektor Awam. Program pertukaran penempatan dalam tempoh tertentu penjawat awam di semenanjung dengan penjawat awam di Sabah dan Sarawak merupakan kerjasama pintar antara Kerjaan Persekutuan dan Kerajaan Negeri untuk membangunkan kompetensi organisasi dan penjawat awam masing-masing.

14.5 Sistem Latihan/ Pembangunan Berasaskan Kompetensi
Berdasarkan Pekeliling Perkhidmatan Bilangan 6 Tahun 2005, Dasar Latihan Sektor Awam, Kerajaan telah menetapkan kepada semua penjawat awam supaya menghadiri kursus/ seminar/ bengkel sekurang-kurangnya tujuh (7) hari dalam setahun. Ia merupakan usaha bersungguh-sungguh Perkhidmatan Awam untuk meningkatkan kompetensi penjawat awam sesuai dengan skop kerja, bidang tugas dan entiti keperluan organisasi yang sentiasa berkembang dan berubah selaras dengan keperluan global dan pelanggan. Selain itu, JPA juga mempunyai smart partnership dalam menjalinkan hubungan kerjasama dengan negara luar dalam bidang latihan melaui pelbagai lapangan seperti Program Eksekutif Muda, pertukaran kebudayaan, ekonomi, pertanian ke Korea Selatan di bawah program COTI, Jepun melalui program JICA, program MTCP dengan negara luar.
14.6 Sistem Pengambilan Penjawat Awam Berdasarkan Kompetensi
Sistem pengambilan penjawat awam berdasarkan kompetensi lebih memberikan impak positif kepada sektor awam. Penjawat awam dipilih berdasarkan kelayakan akademik dan kelayakan pengetahuan dan kemahiran yang bersesuaian dengan skim perkhidmatan dan skop bidang dan fungsi jabatan/ organisasi. Panel temuduga akan akan memilih calon yang memenuhi ciri-ciri kompetensi yang diperlukan oleh jabatan/ organisasi seperti calon yang mempunyai pengalaman tertentu dari sektor swasta dan pengalamannya diperlukan sektor awam seperti Pegawai Penyelidik, Pegawai Ekonomi, Pegawai Perubatan, Pegawai Sains (Bio-teknologi). Dalam keadaan tertentu, calon yang mempunyai kelayakan akademik di peringkat Sarjana atau yang pernah menerima anugerah berprestij dan diiktiraf oleh Perkhidmatan Awam di peringkat nasional/ antarabangsa juga mempunyai kebarangkalian tinggi untuk dilantik dalam sektor awam. Selain itu, Programme Assessment Centre terhadap calon bagi menilai dan menentukan bakat terpilih yang memiliki kompetensi yang diperlukan berpotensi tinggi untuk ditempatkan ke sesuatu jawatan. Ketika ini juga, dalam skim Perkhidmatan Pegawai Tadbir dan Diplomatik (PTD), mulai tahun 2008 semua calon dilantik secara kontrak dalam tempoh dua (2) tahun terlebih dahulu untuk dinilai dan dipantau prestasi dan kompetensi mereka. Calon yang menunjukkan prestasi dan kompetensi terbaik dan cemerlang berkemungkinan tinggi dilantik secara tetap dalam Perkhidmatan Awam.

14.7 Ganjaran Berdasarkan Kompetensi
Sistem Saraan Malaysia telah digubal dan ditambah baik di mana kaedaha ganjaran yang disediakan adalah berdasarkan kompetensi penjawat awam. Penjawat awam yang melepasi tahap proficiency ditetapkan setelah dinilai melalui peperiksaan/ luar peperiksaan berdasarkan kompetensi teras, kompetensi profesional dan kompetensi fungsi (functional) pada aras tertinggi layak dipertimbangkan Anjakan Gaji di gred jawatan dan kemajuan kerjaya (naik pangkat) ke gred jawatan lebih tinggi tertakluk memenuhi syarat kelayakan lain yang ditetapkan.

14.8 Sistem Penilaian Bedasarkan Kompetensi
Sistem penilaian prestasi yang digunakan dalam Sektor Awam yang objektif, dipantau dan dinilai oleh penyelia berasaskan prestasi akan membantu penyelia dan penjawat awam memahami dan menyetujui secara bersama ktiteria-kriteria yang diberi tumpuan dalam penilaian prestasi kerja. Penyelia dan penjawat awam perlu menentukan Sasaran Kerja Tahunan (SKT) secara persetujuan bersama pada permulaan setiap tahun dan penilaian prestasi dilakukan berdasarkan pencapaian SKT berkenaan pada pertengahan dan penghujung tahun semasa tersebut. Dengan mengadaptasikan petunjuk-petunjuk yang dihuraikan di bawah model kompetensi dalam borang penilaian prestasi, penyelia akan dapat menilai prestasi penjawat awam bawahannya dengan lebih objektif dan meyakinkan berasaskan pengetahuan, kemahiran dan perilakunya yang memberikan merit untuknya dinilai sebagai berprestasi cemerlang.

ANALISA KURANG KEBERKESANAN PELAKSANAAN PENGURUSAN SUMBER MANUSIA BERTERASKAN KOMPETENSI DALAM SEKTOR AWAM

15. Peter Drucker (1998), pakar pengurusan terkenal yang mengatakan bahawa cabaran PSM masa kini adalah kecenderungan tenaga kerja yang menidakkan peraturan yang telah diatur oleh Bahagian Sumber Manusia. Beliau menegaskan bahawa budaya negatif ini sangat pantas merebak iaitu daripada tenaga ‘manual’ dan ‘clerical worker’ kepada ‘knowledge-worker’ yang menolak untuk menerima perintah ala paksaan dan tegas di mana kaedah ini pernah dilaksana dalam dunia perniagaan lebih 100 tahun lalu.

16. Pola perubahan di atas menuntut kepada penghayatan pengetahuan, kemahiran dan cara pengurusan yang baru. Sumber tenaga manusia yang menjarah kepada pengetahuan, kemahiran, latihan, sense of togetherness, berkebolehan dan berperilaku positif sangat diperlukan. Kini, kecenderungan membentuk pekerja yang berkompetensi menjurus kepada ‘knowledge-intensive’ dan ‘high tech – knowledgeable’ amat dititikberatkan bersesuaian dengan keperluan dunia perniagaan global.

17. PSM memikul tanggungjawab yang kompleks dalam pelbagai aspek meliputi faktor-faktor lingkungan internal organisasi (kekuatan dan kelemahan) serta lingkungan eksternal (peluang dan ancaman). Bagi menganalisa secara umum faktor internal dan faktor eksternal yang mempengaruhi kurang keberkesanan pelaksanaan PSM Berteraskan Kompetensi, kaedah analisis yang saya gunakan adalah melalui analisis SWOT sebagaimana Rajah 1 di bawah:


Rajah 1 : Analisis SWOT Faktor Internal Dan Eksternal Yang Mempengaruhi Kurang Keberkesanan Pelaksanaan PSM Berteraskan Kompetensi Dalam Perkhidmatan Awam


STRENGTH (KEKUATAN)

• Halatuju Negara
-Negara Berprestasi, Produktiviti Dan Berpendapatan Tinggi, GTP, MEB, RMK10, K-Worker, K-Economy
• Dasar Kerajaan/ Pekeliling Perkhidmatan/ Pekeliling Kemajuan Pentadbiran Awam
-PP Bil. 4/2002 (SSM), PKPA Bil. 3/1993
• Kekuatan Sumber Maklumat/ Data
-Validity of Institutional Memory (HRMIS) Maklumat Personel, Penempatan, Sumbangan
• Sokongan/Komitmen Pengurusan Organisasi
-Kebenaran hadir PPK, Kursus/ Seminar, Job Rotation, APC, Ceramah/ Taklimat, Coaching/ Mentoring, Penempatan Silang, Reward, TQM, Succession Plan
• Lembaga Tatatertib
-Tindakan Punitif/ Kaunseling/ Exit Policy
• Indeks Akauntabiliti
-Value For Money
• Pelan Integriti Nasional
-Penjawat Awam Berintegriti, Akauntabiliti dan Berpekerti
• Agensi Berprestasi Tinggi Dan Cekap Sebagai Penasihat Kepada Kerajaan
-JPA, Perbendaharaan, BKN, Pihak Berkuasa Melantik, BPSM Kementerian/ Jabatan

WEAKNESSES (KELEMAHAN)

• Prasarana ICT Agensi Awam Usang
-Di Daerah/ Mukim/ Kampung Terhad Untuk Access ICT Dalam Tadbir Urus Organisasi
• Sumber Kewangan Latihan/ Pembangunan Terhad
-Hanya 1% Daripada ABM Organisasi
• Politik Tradisional Dalam Menilai Prestasi
-Masih Wujud Unsur Penilaian Prestasi Tradisional Bias/ Pilih Kasih Umpama Biri-biri Yang Tidak Berdosa
• Kurang Sokongan Penjawat Awam
-Sesetengah Dasar Kurang Sokongan Penjawat Awam Seperti Isu PTK/ PPK
• Kurang Perancangan Dan Koordinasi Menyeluruh
-Pemikiran Compartmentalization & Territorial Kurang Semangat Kerja Satu Pasukan
• Kekangan Masa Kerana Beban Tugas Tinggi
-Kesannya Tidak Dapat Kebenaran Ketua Jabatan Untuk Hadir Latihan/ Kursus/ Seminar/ Bengkel Dalam & Luar Negara
• Saiz Perkhidmatan Awam Besar
-Perlukan Pangkalan Data Untuk 1.3 Juta Pemilik Kompetensi, 722 Agensi Dan 27 Kementerian Untuk Kenalpasti Kompetensi Diperlukan
• Pengagihan Sumber Yang Lemah
-Sumber Terhad Dan Laksanakan Amalan PSM Berteraskan Kompetensi Yang Tidak Optima

OPPORTUNITIES (PELUANG)

• Globalisasi & Liberalisasi Ekonomi
-K-Economy dan K-Worker
• Pemilihan Personel Tepat Mengikut Kriteria
-Calon Memiliki Kompetensi Yang Diperlukan
• Wujud Jaringan Hubungan Komunikasi/ Interaksi Dalam & Luar Negara
• Menambahbaik Sistem Saraan & Ganjaran
-Saraan & Ganjaran Berteraskan Prestasi, Produktiviti Dan Kompetensi Bagi Yang Cemerlang
• Jimat Kos Dalam Mengurus Sumber Tenaga Insan

THREATS (ANCAMAN)

• Camputangan Ahli Politik
-Tidak Yakin Dengan Profesionalisme Penjawatan Awam
• Perubahan Ekonomi Luar Negara
-Mempengaruhi Perancangan Kewangan Negara
• Kecanggihan Tinggi Prasarana ICT
-Penjawat Awam Terlalu Bergantung Dengan Prasana ICT Berbanding Manual Workforce
• Pengurangan Bajet
• Perubahan Kerajaan
CADANGAN STRATEGI DAN PELAN TINDAKAN MENAMBAH BAIK PENGURUSAN SUMBER MANUSIA BERTERASKAN KOMPETENSI DALAM SEKTOR AWAM

18. Berdasarkan kepada faktor internal dan faktor eksternal yang mempengaruhi kurang keberkesanan pelaksanaan PSM Berteraskan Kompetensi, saya ingin mencadangkan beberapa strategi dan pelan tindakan yang pada pandangan saya berupaya mengatasi kekangan PSM Berteraskan Kompetensi Dalam Perkhidmatan Awam. Antaranya adalah seperti berikut:

18.1 Strategi 1: Pembinaan Jati Diri Dalaman Dan Luaran Penjawat Awam

18.1.1 Program
Pelaksanaan Program Kecerdasan Emosi Penjawat Awam
Pelan Tindakan
Melaksanakan sesi pengajaran dan pembelajaran yang menekankan kecerdasan emosi kerana kemahiran sosial dan emosi lebih penting dalam dunia kerjaya seseorang penjawat awam berbading darjah intelektual tinggi. Kecerdasan emosi ini diukur berdasarkan ujian standard kecerdasan kognitif verbal dan non-verbal. Emosi yang sihat akan mempengaruhi kompetensi dan tahap prestasi kerja penjawat awam yang cemerlang. Pengajaran dan pembelajaran melalui interaksi dua hala dilaksanakan secara berkala di agensi awam selama 30 minit, sekali setiap minggu pada sesi morning call, sebelum mesyuarat, selepas mesyuarat atau melalui sebaran risalah yang ditapis dan dibenarkan kesahihannya.
18.1.2 Program
Anjakan Paradigma Yang Holistik Terhadap Kepentingan Ilmu Pengetahuan dan Kemahiran Tanpa Batasan
Pelan Tindakan
Penerapan dalam jiwa penjawat awam supaya budaya menyiapkan diri dengan ilmu pengetahuan dan kemahiran tanpa had sempadan bukan sahaja sebagai perilaku tetapi menjadi budaya dan sifat perangai yang sebati pada jiwa. Sifat Perangai ini merupakan situasi jiwa rohani (state of soul) penjawat awam yang menghasilkan tindakan fizikal yang menjadi typical atau habit positif secara konsisten. Ceramah, taklimat, dialog, talk, budaya membaca, bempelajaran berterusan dalam berbentuk motivasi secara berkala sebulan sekali untuk beri kesedaran (identify) kepentingan ilmu dan kemahiran dengan menjemput agensi dan syarikat tertentu yang telah berjaya berubah dengan cemerlang berdasarkan kecemerlangan pekerjanya yang kompeten.

Kerap memberi peluang penjawat awam mewakili jabatan/ organisasi dalam acara penting seperti taklimat, mesyuarat, bengkel, forum, lab di peringkat nasional dan antarabangsa untuk membangunkan keyakinan diri, ilmu pengetahuan, mengembangkan kemahiran komunikasi dan berunding.

18.1.3 Program
Latihan Berterusan Pembangunan Jati Diri/ Identiti dan Personaliti
Pelan Tindakan
Mewajibkan latihan/ seminar/ kursus di mana Penjawat Awam diberi kebebasan memilih latihan pembangunan pembinaan jati diri/ identiti/ personality tiga (3) kali setahun atau empat (4) bulan sekali anjuran konsultan swasta. Selesai latihan, informasi yang diperolehi penjawat awam yang hadir dibukukan dilaporkan dalam slot sharing knowledge untuk dikongsi bersama dengan penjawat awam lain dalam organisasi sama. Ketua Jabatan wajib bersikap professional dengan memberi kebenaran dan pelepasan kepada penjawat awam bawahannya untuk menghadiri kursus anjuran kosultan swasta untuk kemampanan prestasi organisasi sebagai sebuah organisasi berpembelajaran (Learning Organization).


18.2 Strategi 2: Menambah Nilai Daya Saing Tadbir Urus Organisasi

18.2.1 Program
Memperkukuhkan Pengurusan Kualiti Melalui Total Quality Management
Pelan Tindakan
Mempertingkatkan TQM dalam tadbir urus organisasi. Dilaksanakan Program Anak Angkat agensi pelaksana terutamanya di peringkat negeri/ daerah dan Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) bagi memastikan PSM diuruskan mengikut standard kualiti yang ditetapkan bagi mengelakkan pembaziran kos, ketidakpatuhan terhadap standard MS ISO dan memenuhi standard amalan kualiti yang ditetapkan memandangkan kebanyakan agensi di peringkat negeri/ daerah / PBT masih kurang kepakaran untuk laksanakan program TQM di agensi masing-masing.
Pelaksanaan Indeks Akauntabiliti bagi memastikan pengurusan awing awam ditadbir dengan cemerlang daripada sebarang ketidakaturan. Pengurusan Kewangan yang cekap dan berhemah menjamin kepada pembangunan PSM Berteraskan Kompetensi dapat dilaksanakan dengan optima.

18.2.2 Program
Membangunkan Prasarana Kemudahan ICT Yang Stabil Secara Intensif
Pelan Tindakan
Mempertingkat prasarana ICT terutama di agensi negeri/ daerah dan sesetengah agensi persekutuan yang masih menggunakan kemudahan ICT yang jauh ketiggalan zaman dan tidak stabil. Penggunaan perisian yang stabil, baru yang sentiasan di upgred selaras dengan perubahan dan keperluan, capaian internet yang tidak terbatas, teleconference system, telefax, video TV conference, web based conference memudah dan mempercepatkan pelaksanaan, prestasi dan kompetensi penjawat awam dalam menghasilkan kerja yang cemerlang.
Mengemasikini pelaksanaan e-Government melalui aplikasi HRMIS di mana ICT sebagai ‘enabler’ membantu menstrategikkan perancangan/pembangunan PSM berasaskan kompetensi untuk menghadapi cabaran globalisasi.
18.2.3 Program
Mewujudkan Usahama Smart Partnership Dengan Sektor Swasta Dan Badan Bukan Kerajaan
Pelan Tindakan
Agensi pusat memberi kepercayaan melalui penurunan kuasa melalui Pekeliling Perkhidmatan dan Arahan Perbendaharan kepada Ketua Jabatan/ Pengurus Organisasi agensi-agensi pelaksana di peringkat jabatan persekutuan/ negeri/ daerah untuk menjalinkan hubungan strategik dalam bidang PSM dengan agensi-agensi swasta dan Badan Bukan Kerajaan yang diyakini kedayasaingannya dan menekankan amalan PSM berdasarkan performance based competency. Kerjasama pintar dari sudut latihan pembangunan penjawat awam, pembangunan identiti dan personaliti, penempatan silang antara agensi, best practices management, good governance dan high-tech knowledge appication.
18.2.4 Program
Mewujudkan Struktur Organisasi Yang Dinamik
Pelan Tindakan
Struktur organisasi yang fleksibel yang memudahkan perhubungan dan komunikasi yang berkesan untuk mendapatkan informasi dan membuat keputusan dengan cepat dan tepat berdasarkan bidangkuasa bahagian/ organisasi masing-masing. Mewujudkan di setiap bahagian/ organisasi cawangan/ unit dasar di mana pegawai yang ditempatkan di cawangan merupakan pegawai yang benar-benar memahami core business organisasi dan kompeten (pakar) supaya tepat, cepat dan fleksibel dalam membuat keputusan berhubung dengan pelaksanaan, penambahbaikan dan perubahan sesuatu dasar Kerajaan. Ini akan memudahkan penjawat awam agensi lain untuk terus berhubung dan berkomunikasi secara langsung dengan pegawai berkenaan bagi sesuatu isu yang melibatkan dasar Kerajaan di bawah taggungjawab agensi tersebut.
18.2.5 Program
Penglibatan Intensif Penjawat Awam Bawahan Terhadap Halatuju Organisasi
Pelan Tindakan
Menggembleng penglibatan pengurusan organisasi dan ahli organisasi terhadap halatuju, matlamat dan objektif organisasi secara terbuka. Melibat penjawat awam di gred jawatan tertentu dalam bilangan tertentu secara bergilir-gilir menghadiri dan menggalakkan menyumbang idea dalam program bersar tertentu seperti Seminar Perancangan Strategik organisasi, mesyuarat pengurusan tertinggi organisasi, penetapan sasaran kerja tahunan jabatan, mesyuarat dengan ketua-ketua organisasi, seminar-seminar PSM, program kualiti supaya penjawat awam dapat pendedahan dan berkemampuan merencana pembangunan kompetensi mereka.

18.2.6 Program
Pelan Penggantian Penjawat Awam
Pelan Tindakan
Mewujudkan pangkalan data profil personel penjawat awam di bawah satu modul khusus dalam sistem aplikasi HRMIS supaya ketua jabatan berupaya untuk mencapai profil lengkap personel merangkumi pengalaman, kepakaran, pengetahuan, pencapaian dan sumbangan kepada sektor awam bagi tujuan pelan penggantian kekosongan yang disebabkan kekosongan hakiki. Ketua jabatan boleh merancang pelan penggantian tiga (3) bulan sebelum kekosongan hakiki bagi sesuatu jawatan melalui system pangkalan data yang wujud.

18.3 Strategi 3: Pemantapan Profesionalisme Tinggi Pemimpin Organisasi

18.3.1 Program
Pelaksanaan Kerohanian Di Tempat Kerja
Pelan Tindakan
Ciri-ciri Ketua Jabatan Pengurus Organisasi bukan sahaja perlu kepada ilmu dan kemahiran bahkan mereka perlu kepada nilai dan penghayatan integriti. Oleh itu, ketua jabatan perlu perlu menilai diri sendiri sejauh mana nilai-nilai kerohanian wujud dalam diri sendiri. Bina nilai-nilai rohani (integriti) dalam diri seperti amanah, adil, sabar, tanggungjawab, penyayang, ihsan agar manjadi ikutan contoh ikutan (lead by example) oleh ahli aorganisasi. Program penerapan nilai-nilai Islam, ceramah, forum agama Islam atau nilai murni di organisasi setiap minggu sekurang-kurangnya 60 minit bukan sahaja mendorong keberkesanan PSM dari sudut kompetensi, bahkan memberi kesan kepada pembangunan integriti dan akauntabiliti personel.

18.3.2 Program
Keadilan Dalam Menilai Prestasi Penjawat Awam
Pelan Tindakan
Ketua jabatan asas fundamental dalam menilai prestasi penajwat awam dalam organisasinya. Ketua jabatan perlu jujur, berkebolehan, berpengetahuan dan bertanggungjawab dalam menilai prestasi Penjawat awam. Penilaian prestasi yang adil, tepat, bersumberkan informasi yang sahih akan mewujudkan hubungan kerja yang harmonis. Tidak semua ketua jabatan memaklumkan secara face to face selepas prestasi penjawat awam dinilai. Adalah disyorkan bagi mengelakkan sebarang bias/ pilih kasih dalam menilai prestasi, Kerajaan perlu melaksanakan pelaksanaan 360 degree evaluations iaitu penilaian prestasi personel tidak hanya dari atas ke bawah bahkan melibatkan pendekatan bawah ke atas.
18.3.3 Program
Pemupukan Budaya Kerja 1Malaysia, 1Pasukan Melalui Perundingan
Pelan Tindakan
Ketua jabatan perlu bijak dalam menarik perhatian dan minat untuk penjawat awam memahami sesuatu perubahan dasar awam yang dilaksanakan Kerajaan. Pendekatan perbincangan, dialog, forum perundingan dalam menjelaskan isu pelaksanaan dasar seperti PTK/ PPK perlu dilaksanakan dengan berhemah dan wujudnya situasi give get/ win-win memandangkan penjawat awam semakin berpengetahuan/ bermaklumat supaya sesuatu gagasan dapat dilaksanakan untuk kepentingan awam. Untuk itu, keahlian Majlis Bersama Jabatan (MBJ) perlu ditambah dan mekanisme pemantauan pelaksanaan MBJ di agensi awam yang bermasalah melalui online melalui aplikasi HRMIS wajar diwujudkan supaya ketua jabatan dan penjawat dapat bekerjasama dalam satu pasukan dan menyokong sepenuhnya dasar PSM yang diperkenal Kerajaan untuk kepentingan bersama.


18.4 Strategi 4: Melaksana Pendekatan Strategik Pengurusan Sumber
Manusia

18.4.1 Program
Pelaksanaan Best Matching
Pelan Tindakan
Pelaksanaan nilai dan amalan terbaik dalam menyesuaikan best matching modal insan dalam strategk PSM melalui pendekatan vertical (matlamat organisasi) dan horizontal (kesesuaian pengurusan dalaman organisasi). Pemilihan calon yang sesuai dengan keperluan agensi, suasana dan reka bentuk kerja dan pembangunan kompetensi yang diperlukan untuk memenuhi objektif organisasi melalui temuduga, ujian dan assessment centre ke atas calon-calon/ bakat terbaik yang dilakukan sendiri oleh ketua jabatan, stakeholder atau shareholder. Pengurusan dan pembangunan personel secara best matching akan menjadi lebih fokus dan tersusun.
19.4.2 Program
Indeks Pengukur Kapasiti Sektor Awam Diperkemas Berdasarkan Objektif Dan Kaedah Lain Yang Fleksibel
Pelan Tindakan
Dalam menempuh era globalisasi dan liberalisasi, kapasiti Sektor Awam tidak rigid menjurus kepada keberkesanan kapasiti dasar, pelaksanaan dan operasi semata-mata. Prestasi kapasiti Sektor Awam dinilai dengan menumpu aspek kuantitatif yang lebih jelas seperti jumlah kos, jumlah kuantiti personel, jumlah tempoh masa membangunkan personel, hasil outcome, pengulangan nilai kerja personel, hasil keuntungan dan penjimatan kos operasi PSM. Indeks pengukur sewajar lebih objektif melalui pendekatan Pengurusan Melalui Objektif, Pengurusan Pemerhatian Gelagat, Teknik Peristiwa Penting, Kaedah Perbandingan, Kaedah Perkadaran dan Pemeringkatan Bertunjangkan Gelagat.


RUMUSAN

20. Kepentingan PSM Berteraskan Kompetensi yang berkesan dan cekap dalam menyokong pembangunan negara yang mengalami tempias arus K-economy, globalisasi dan liberalisasi tidak dapat dipertikaikan. Untuk itu, pewujudan mekanisme PSM berasaskan kompetensi yang futuristik, dinamik dan fleksibel adalah penting supaya dapat menyerap dan menghayati perubahan semasa dan mendatang yang hebat. PSM yang bercirikan kompetensi bukan sahaja berupaya menyediakan sumber tenaga insan yang intelektual, berintegriti dan berprestasi tinggi, bahkan ia mampu menjana modal insan yang kukuh dari sudut rohani, emosi dan fizikal dalam mendepani cabaran 2020.
SUMBER RUJUKAN

1. Keinsanan Dalam Pengurusan, Ab. Aziz Yusof, 2007, Utusan Publication & Distributors Sdn. Bhd., Kuala Lumpur;

2. Pengurusan Sumber Manusia Menurut Perspektif Islam: Falsafah Dan Etika Pelaksanaan, Nor `Azzah Kamri, 2006, Penerbit Universiti Malaya, Kuala Lumpur;

3. Amalan Pengurusan Sumber Manusia Berteraskan Kompetensi Dan Kualiti Perkhidmatan Dalam Organisasi Awam Di Malaysia: Kesaling Bergantungan Tugasan Sebagai Penyederhana, Ilhaamie Binti Abdul Ghan Azmi, 2008, USM Pulau Pinang;

4. Pengurusan Dari Perspektif Solat, Dr. Mohamad Azmie Zakaria, 1999, Utusan Publication & Distributors Sdn. Bhd., Kuala Lumpur;

5. Penilaian Prestasi: Kepentingan Dan Permasalahan, Ab. Aziz Yusof, 2005, Utusan Publication & Distributors Sdn. Bhd., Kuala Lumpur;

6. Pengurusan Dalam Islam, Menghayati Prinsip Dan Nilai Qurani, Dr. Abd. Malek Awang Kechil & Dr. Malek Shah Hj. Mohd. Yusof, Akademi Pengurusan YAPEIM, 2005, YAPEIM, Kuala Lumpur;

7. Pendekatan Strategik Pengurusan Sumber Manusia, Maziah Che Yusoff, 2002, Jurnal Pengurusan Awam, Jabatan Perkhidmatan Awam, Putrajaya; dan

8. Pekeliling Perkhidmatan Bilangan 4 Tahun 2002, Pelaksanaan Sistem Saraan Malaysia Anggota Perkhidmatan Awam Persekutuan, Jabatan Perkhidmatan Awam, Jabatan Perdana Menteri, Putrajaya.

Saturday, July 24, 2010

PETAKA KAD KREDIT

KAD KREDIT : RIBA YANG GUNTING DALAM LIPATAN VS API DALAM SEKAM

Firman Allah swt dalam surah al Baqarah, ayat 275 yang bermaksud " Sesungguhnya orang-orang memakan harta riba (sesudah dikhabar haram akannya kepada mereka) tidak dapat berdiri tegak (tertegak kebenaran pada diri dan hartanya) melainkan tertegaknya sebagaimana orang yang kemasukan syaitan; itu adalah disebabkan mereka mengatakan sesungguhnya jual beli itu sama dengan riba (tiada beza): Sesungguhnya Allah telah menghalalkan jual beli dan mengharamkan riba...".

Bertita Harian hari ini 24 Julai 2010 di muka hadapan memaparkan bagaimana bahana kad kredit boleh mendatangkan petaka kepada penggunanya. Dipaparkan ramai di kalangan eksekutif muda sering menjadi mangsa 'kecurian wang' dari kocek oleh kad kredit secara disedari atau tanpa disedari.

KAD KREDIT UMPAMA TOYOL
Ramai eksekutif muda yang berpendidikan tinggi, berpangkat besar, mempunyai kerjaya yang berkedudukan dan mempunyai pendapatan yang tinggi akhirnya tenggelam dan lemas dalam kemiskinan dan kemuflisan wang dan harta lantaran menjadi hamba kerakusan penggunaan 'wang plastik' kad kredit. Jika semasa usia mudanya sudah muflis, maka pada usia tua nanti bakal berstatus apa pula? Jika dalam usia muda sudah di kelilingi dengan hutang piutang. Kiri hutang, kanan hutang, depan hutang, belakang hutang, atas dan bawah hutang. Selagi boleh berhutang, 'balun' sahaja. Segala-galanya berhutang. Maka apa lagi yang tinggal. Cukup bulan dapat gaji bayar hutang. Awal bulan berhutang semula. Sah si pelaku ini memenuhi watak skrip lagu yag pernah popular satu ketika dahulu iaitu 'gali lubang tutup lubang, pinjam duit bayar hutang'. Mereka tidak sedar kad kredit ini umpama 'Toyol'. Dikatakan toyol kerana sifat kad kredit menyebabkan duit sebenar yang dimiliki oleh pengguna itu hilang dan lesap tanpa disedari sebagaimana sifat toyol yang menyelinap masuk mencuri duit manusia tanpa disedari oleh si mangsa.

PENGHUTANG DIBENCI OLEH NABI MUHAMMAD S.A.W
Apa lagi yang pada maruah diri si penghutang, persis makanan disuap ke mulut dengan jari kosong, mulut dan gigi hanya mengunyah angin. Sampai ke tua berhutang. Silap-silap sampai ke mati pun masih berhutang dengan penggunaan kad kredit yang berunsur riba tanpa terkawal. Maka gelaran yang paling sesuai kepada orang yang suka dan banyak berhutang ini adalah YB iaitu Yang Berhutang. Yang Berhutang darjatnya tidak sama dengan Yang Berhormat, apatah lagi nak disamakan dengan Yang Berbahagia. Ini kerana, Yang Berhutang jiwanya tidak tenang dan tidak tenteram. Minda dan jiwanya sentiasa berputar dengan isu duit, duit dan duit. Hati dan tindakannya sentiasa berkehendakkan hutang, hutang dan hutang. Hinggakan ada yang sanggup menggadaikan harta benda untuk membayar hutang. Rumah dijual, kereta dilelong, duit dibank lesap. Apa lagi yang tinggal. Bagi yang berkahwin , sudah tentu masih isteri dan anak-anak. Silap-silap dek kerana sawan berhutang yang menekan jiwa sehingga ke tahap 'dewa', ada yang terpaksa isteri dan anak-anak pun digadaikannya.

Ada eksekutif muda yang hidup bergaya mewah dengan serba serbi. Jika dinilai taraf pendapatnnya yang boleh dikatakan setakat mencukupi, tetapi budaya 'rakus' hidup dan berbelanjanya umpama mengalahkan pak menteri. Dalam minda pemikiran mereka, mungkin tag sosial yang biasa didengari 'biar papa, asal bergaya' yang diteladani . Ye lah, 'alah membeli, menang memakai'. Ramai yang bertaggapan apa salahnya kita berhabisan duit walupun terpaksa berhutang asalkan boleh memiliki apa yang dihajati. Apa sangatlah pada 'papa', 'kayap' atau 'muflis' kerana jika berhutang dengan kad kredit, tidak mampu bayar semula, tindakan hanya nama disenarai hitamkan oleh pemiutang sahaja. Apa nak heran, apa nak takut. Diri masih boleh diselamatkan. Hilangkan diri atau lari sebelum digari. Lagi pun, sehingga kini berapa kerat pemuflis kad kredit ini yang kena gari dengan pemiutang. Tidak menjadi kudis pun jika pemuflis kad kredit ini menjadi pelarian, merempat atau elak bertemu masyarakat disebabkan muflis umpama penjenayah yang menjadi buruan, tidak berani menunjukkan diri dikhalayak ramai bimbang diserkap orang awam atau polis. Orang Berhutang, jika Muhammad Rasulullah SAW masih hidup, sudah pasti baginda tidak akan mengimam atau menyembahyangkan orang Islam yang mati dalam keadaan berhutang.
KAD KREDIT ADALAH PENINDAS
Dalam benak pemikiran saya, pelbagai persoalan besar yang timbul berkaitan dengan penggunaan kad kredit. Secara jujurnya, semasa di bangku sekolah rendah hingga sekarang, sememangnya saya tidak mempunyai maklumat yang cukup baik berhubung dengan kaifiat penggunaan kad kredit ini. Adakah kad kredit ini sama dengan kad debit bank? Adakah kad kredit ini sama dengan kad bank ATM? Adakah kad kredit ini ada tanda HALAL oleh JAKIM yang layak untuk ditukar sifatnya sebagai plastik kepada sifat sebagai nilai mata wang.
Tetapi bagi saya yang berprejudis tentang kad kredit ini, ia umpama kad plastik yang di dalamnya secara maknawi terkandung syaitan riba yang menekankan konsep urusniaga kapitalisme, yang menguntungkan sebelah pihak dan menindas pula di pihak yang lain tanpa ada unsur kemaslahatan (kebajikan) bagi kedua-dua belah pihak. Apa pun ini padangan peribadi saya semata. Ia tiada kaitan dengan mana-mana kad kredit yang masih hidup atau yang telah mati. Pendapat singkat saya ini juga tiada kaitan dengan mana-mana kad kredit yang mewakili kategori kad kredit masing-masing sama classic card, platinum card, gold card atau sebagainya. Sudah sememangnya pandangan kecil saya ini juga tiada kena mengena langsung dengan kad kredit yang sedang mendapat sambut hangat dan sibuk berurusniaga sama ada di pasaran nasional dan antarabangsa.

Ada lagi beberapa persoalan yg sering timbul dalam pemikiran berhubung 'spesis' kad kredit ini. Saya juga keliru bagaimanakah kad kredit ini boleh berfungsi sebagai alat tukaran transaksi antara wang ringgit dan barang bagi mengharuskan jual beli dan dikenakan caj yang berunsurkan riba? Apakah penggunakan kad kredit menjadikan amalan jual beli itu sah dari perspektif Islam walupun berunsurkan riba? Betulkah kad kredit ini memberi lebih manfaat (benefial) berbanding dengan kemudaratan (dharurah) kepada pengguna walaupun unsur riba itu telah dirasionalkan takrif kepada caj perkhidmatan? Untuk apa matlamat kad kredit ini diwujudkan, bermotifkan tabarru'at (kebaikan) atau bermotifkan penindasan melalui riba.
JAWABAN KEPADA PERSOALAN
Saya rasa, perosalan-persoalan di atas akan terjawab sekiranya tuan/ puan membaca ulasaan panjang lebar Ustaz Zaharuddin Ab. Rahman, seorang yang mempunyai tauliah untuk berhujah dalam bidang ekonomi dan muamalat Islam berhubung dengan isu dan permasalahan kad kredit ini sebagaimana di bawah. Selamat membaca, faham dan amalkannya dalam kehidupan harian.
Salam.




ISU KAD KREDIT
Oleh : YBhg. Ustaz Zaharuddin Ab. Rahman.

Jika sebelum ini saya telah pernah menulis berkenaan kredit kad dan beberapa persoalan berkaitan hukum Fiqh. Tulisan saya kali ini ingin cuba mendedahkan ulasan kredit kad jika dilihat dari sudut kira-kira untung dan rugi, atau dalam kata lainnya, dari sudut kewangan (monetary).

KONSEP KAD KREDIT

Tanpa perlu mengulas panjang lebar dan begitu ilmiah, saya akan mengulas berkaitan kad kredit semudah yang mungkin bagi tatapan orang kebiasaan.

Jika dilihat definisi kad kredit, kita akan memahami ia adalah sekeping kad plastik yang diberikan oleh pengeluarnya sama ada bank atau Institusi Kewangan setelah diyakini pemohon mempunyai kemampuan untuk membayar hutang-hutang yang bakal dibuat melalui penggunaan kad tersebut. Melalui kad tersebut, pemilik kad boleh berbelanja sehingga tahap kredit bulanan (monthly credit limit) yang dibenarkan.

Hubungan di antara pengguna dan pengeluar kad adalah hutang. Pihak pengeluar akan membayar jumlah pembelian yang dibuat kepada penjual (peniaga). Kemudian, sebagai balasan, pihak peniaga perlu membayar kepada pengeluar kad sebanyak 1 hingga 3 % dari jumlah barang yang dibeli sebagai komisyen, manakala pengguna pula perlu membayar semula hutang tadi beserta caj riba yang mahal, iaitu 17.5 % setiap tahun.

"Kredit kad adalah sama seperti Ah Long (Loan Shark)" Itu lah yang dikatakan oleh Dr. Elizabeth Warren, Professor Undang-undang yang pakar di dalam bidang kewangan di Havard University, USA.

Bezanya, ia diatur secara lebih tersusun dan professional, tidak seperti Ah Long yang beroperasi secara gelap dan berbau jenayah. Namun hakikatnya, kedua-dauanya adalah sama dari sudut caj dan kezalimannya.

KAD KREDIT ADALAH KAD NAFSU

Dari sudut objektif, kad ini boleh dikatakan amat tidak menepati kehendak Islam kerana :-

1) Menggalakkan Leverage Melampau (menggandakan kemampuan pembelian melalui hutang)

Kewujudan kad kredit hanya menggalakkan pengguna untuk berbelanja melebihi kemampuan kewangan bulanannya. Manakan tidak, saya masih ingat seorang rakan saya yang berpendapatan sekadar RM 4,000 sebulan, dengan tanggungan rumah, keluarga dan kereta setiap bulan, masih diluluskan oleh bank untuk menerima kad kredit dengan had penggunaan (credit limit) sebanyak RM 8,000 sebulan. Sebagaimana disebutkan oleh Professor Elizabeth juga, pengeluar kad juga biasanya mensasarkan golongan pertengahan (middle class) yang berpotensi besar untuk menangguh bayaran serta tidak berkemampuan membayar penuh setiap bulan.

Hari ini, individu yang berpendapatan RM 2,500 sudah layak memilik sekeping kad kredit. Kredit limitnya sudah pasti melebih jumlah pemdapatan bulanannya. Belum lagi ditolak lain-lain beban kewangan bulanannya.

Kad ini juga boleh dianggap sebagai sekeping kad plastik ‘untuk melayan nafsu berbelanja secara tidak terkawal.', Ini kerana ia tentunya merangsang nafsu berbelanja ramai pemiliknya, pada awalnya mungkin mereka mampu mengawal perbelanjaan namun lama-kelamaan mereka tewas dalam mengawal nafsu membeli belah dan menangguh bayaran.

Kad kredit ini tidak ubah seumpama sebuah perangkap dan jerangkap samar yang hanya menunggu sedikit kelalaian pengguna, tatkala itu kesakitan yang akan ditinggalkannya adalah pedih dan amat sukar diubati.

2) Kad yang sengaja menggalakan pemilik melewatkan bayaran ;

Kad ini juga sememangnya direka cipta untuk memerangkap pengguna. Saya mengatakan demikian kerana, kerangka asas kad ini adalah pengguna HANYA diminta untuk membuat bayaran bulanan hanya 3-5 % dari jumlah penggunaan bulannnya. Jika semua jumlah yang digunakan dilangsaikan sebelum tempoh ‘grace period' (biasanya 20 hari), pengguna tidak akan dikenakan sebarang caj. Sebarang tangguhan bayaran melebihi 20 hari, caj interest RIBA yang tinggi akan dikenakan.

Di Malaysia cajnya hasil peraturan yang dikenakan oleh bank Negara Malaysia, caj interest kad kredit di Negara ini seperti berikut :-

No. of prompt payment in the past 12 months
Interest Rate
Tier 1
12 consecutive months
13.5%
Tier 2
at least 10
16%
Tier 3
Others
17.5%

Keterangannya

Tier-1 : Caj tahunan yang dikenakan bagi pemegang kad yang secara konsisten melangsaikan bayaran minimum secara berturut-turut selama 12 bulan yang sebelumnya dalam tempoh dibenarkan.

Tier-2 : Caj interest tahunan yang dikenakan bagi pemegang kad yang melangsaikan bayaran minimum selama 10 bulan dalam setahun,

Tier-3 : Caj yang dikenakan bagi semua pemeganga yang tidak menepati dua ciri di atas.

Boleh difahami dari jadual di atas, bagi mereka yang gagal melangsaikan bayaran minimum secara konsisten akan menderita dengan kadar riba yang lebih tinggi berbanding mereka yang konsisten membayar. Pun begitu, kadar caj interest terendah bagi bank-bank pengeluar kad di Malaysia adalah 13.5 % dan tertinggi adalah 17.5 %. Itu adalah setelah peraturan baru yang dikeluarkan oleh bank Negara Malaysia. Perlu disedari caj tersebut amat lah tinggi dan tersangat merugikan.

Pembaca boleh melihat sendiri bagaimana caj yang dikenakan oleh HSBC bank di link INI.

Manakala Standard Chartered Bank seperti berikut PULA

Perlu difahami, jumlah yang dituntut bayar setiap bulan oleh pihak bank biasanya hanya 5 peratus dari jumlah penggunaan bulanan, manakala jumlah interest sebanyak 1.46 peratus setiap bulan (atau 17.5 % tahunan) itu akan dikenakan kepada semua pokok hutang atau jumlah tertunggak.

Sekarang cuba bayangkan, ruginya mereka yang membeli belah dengan menggunakan kad kredit dan kemudian membiarkan caj berbelas peratus itu dikenakan ke atas mereka. Jika pengguna faham dan sedar, bermakna setiap pembelian pengguna akan berkali ganda mahalnya berbanding pembayaran yang dibuat secara tunai atau menggunakan debit kad.

CONTOH KIRAAN MUDAH

Sekali lagi, ini bermakna, pembeli yang membeli menggunakan kad kredit membayar secara purata lebih dari 17.5 % tahunan (iaitu sama dengan 1.46 peratus bulanan) berbanding pembeli secara tunai.

Sebagai contoh kiraan mudah faham, katalah Ah Chong berbelanja menggunakan kad kredit sebanyak RM 10,000 (nilai pokok pinjaman) pada bulan Januari, dia perlu membayar semula jumlah tersebut ditambah 1.46 peratus setiap bulan iaitu RM 146. Memang benar, ia kelihatan kecil, tetapi cuba fahamkan bahawa jumlah tersebut bersifat compounding atau akan masuk di dalam jumlah pokok.

Katalah Ah Chong tidak membayar jumlah minima wajib 5 % setiap bulan. Maka akibatnya pada bulan Januari, jumlah pokok yang perlu dibayar meningkat kepada RM 10,146.

Pada bulan Februari, jika jumlah tersebut dibiarkan, lagi 1.46 peratus dikenakan dari jumlah baki terkumpul yang baru iaitu 1.46 peratus x RM 10,146 = RM 148.13.

Pada bulan Mac, jumlah pokok terkumpul sudah berubah menjadi RM 10,146 + RM 148.13 = RM 10,294.13.

Begitulah kiraan dipermudah bagi caj interest bulanan sehinggalah semua jumlah tertunggak itu diselesaikan. Akibat dari cara kiraan sebegini sekitar 30 peratus pemilik kad kredit jatuh muflis, kebanyakkannya dari kalangan eksekutif muda yang tidak dapat mengawal runtunan nafsu berbelanja dan kurang displin dalam membayar hutang.

Menurut statistik yang diperolehi oleh BNM, jumlah hutang kad kredit ini bertambah 20 peratus pada setiap tahun. Dengan kadar faedah 1.5 peratus sebulan. Bank-bank Malaysia dengan mudah mendapat keuntungan faedah berjumlah RM159 juta setiap tahun tidak termasuk caj-caj untuk perkhidmatan lain seperti caj pengeluaran tunai (5%) dan caj lambat bayar (RM5). Mujurlah di Malaysia, BNM menghadkan caj interset maksimum kepada 17.5 % setahun sahaja, bayangkan di Negara lain seperti Amerika, caj tersebut boleh meningkat kepada 40 %, malah pihak bank di sana sentiasa mendesak kerajaan agar meniadakan kadar maksimum interest bagi kad kredit.

Bayangkah betapa ruginya menggunakan kad kredit dari sudut kiraan duit, lebih mendukacitakan, mereka juga dikira terjebak dengan dosa riba yang maha besar setiap kali penggunaannya. Sudahlah rugi dari perspektif kewangan, rugi juga dari sudut spiritual.

Kerana itu, saya tidak sama sekali menggunakan kad kredit. Sehingga hari ini, saya tidak memilik satu pun kad kredit walaupun ia kad kredit yang diolah secara Islam. Cukuplah memadai dengan kad caj Islam dan kad debit Islam saya gunakan bagi segala macam urusan.

TIADA LAGI 20 HARI GRACE PERIOD TANPA RIBA

Kalau dahulu, pihak pengeluar kad memberikan tempoh 20 hari setiap bulan sebagai tempoh NO CAJ NO INTEREST jika dibayar jumlah minimum 5 peratus. Namun bermula hujung tahun 2008, Bank Negara Malaysia telah memansukhkan undang-undag terbabit bagi merendahkan kadar interest yang lain. Justeru kini, hanya mereka yang membuat full repayment sebelum tamat tempoh 20 hari itu sahaja yang terkecuali dari caj interest dalam jadual di atas. Yang lain tidak lagi terselamat sebagaimana dahulu. Baca di SINI

CAJ LAIN

Selain dari caj-caj utama yang disebutkan di atas, caj-caj lain juga adakalanya perlu disemak sebaiknya. antara caj-caj lain yang wujud adalah :-

Caj kelewatan pembayaran iaitu 1 % dari jumlah tertunggak atau maksmium RM 100.
Yuran tahunan, namun sebahgian pengeluar kad menyerap kos ini bagi menjadikan kad mereka lebih menarik.
Caj bagi pembelian antarabangsa samada jika pengguna membeli di luar Negara atau membeli barangan luar Negara melalui internet. HSBC dan Maybank mengenakan caj sebanyak 1.25 % dari nilai harga belian luar negara terbabit.
Caj 5 % apabila membuat belian terlebih dari had kredit yang dibenarkan. Di Amerika Syarikat, difahamkan ada pihak pengeluar sengaja merendahkan jumlah had kredit tanpa memaklumkan kepada pelanggan dengan niat sengaja memerangkap pelanggan dengan caj ini. Di Malaysia saya tidak pasti, namun ada baiknya pembaca menyemak sendiri dengan pengeluar kada masing-masing. Ia dipanggil overlimit fees. HSBC mengenakan kos caj sebanyak RM 25 sebulan.
Sebahagian pengeluar menegnakan cash advances fees. HSBC mengenakan caj sebanyak 5 % dari jumlah tunai yang dikeluarkan atau RM 5 minimum.
Selain cash advance fee, cash advances itu sendiri dikenakan caj yang tersendiri iaitu 18 % bagi HSBC.
KESIMPULAN

Deikian sifat sekeping kad kredit yang sering dibanggai oleh pemiliknya bagi menunjuk kemewahan diri namun hakikathya ia hanyalah sekeping kad hutang yang menunjukkan potensi diri pemiliknya untuk jatuh muflis, atau menunjukkan pemiliknya yang lebih suka membayar sesuatu dengan harga yang lebih mahal, suka berhutang, cenderung berbelanja melebihi pendapatan.

Itu lah juga kad kredit, sekeing kad yang disediakan untuk melayan kebuasan nafsu membeli dan berhutang manusia dan mengambil kesempatan atas kelemahan itu. Diberinya kemudahan membeli sehingga melebih kemampuan pendapatan, malangnya dikenakan caj yang tinggi, adakalanya kurang difahami cara kiraannya oleh pengguna itu sendiri, lalu bertambahlah malangnya.

Akhirnya, saya nasihatkan hentikanlah penggunaan kad kredit dan berpindahlah kepada kad caj Islam dan Debit kad Islam sahaja.

Hapuskanlah kad kredit anda, khususnya apabila ia sekeping kad kredit dari bank konvensional kerana ia adalah riba menurut fatwa Majlis Fiqh Antarabangsa. Walau hutang diselesaikan sepenuhnya dalam tempoh 20 hari yang diberi, riba tetap mengenai pengguna, ia adalah kerana setiap penggunaan menyebabkan peniaga perlu membayar komisyen 1-3 peratus kepada pengeluar kad. Hasilya, setiap penggunaan kad kredit konvensional dianggap bantuan dan sokongan secara langsung kepada industri kad nafsu berteraskan riba. Insafilah dan beringatlah sebelum terlambat. Moga kita diberikan kekuatan untuk bertindak dan memotong kad-kad kredit kita.

Sekian

Zaharuddin Abd Rahman
www.zaharuddin.net
21 Julai 2010

Friday, July 23, 2010

Salam Pengenalan...

BismilLLAH ar Rahman ar Rahim.

Dengan nama Allah Maha Pemurah Lagi Maha Penyayang.

Segala puji bagi ALLAH swt tuhan sekelian alam. Selawat dan salam untuk Rasul junjungan Muhammad S.A.W pembawa rahmat sekelian alam.

Blok Abu Abdullah Azzam atau triple 'AAA' merupakan blok untuk tatapan sosial bagi rakyat Malaysia dan luar negara yang meminati hal ehwal yang berkaitan akademik dan bukan akademik. Blok ini merupakan gelanggang perbincangan yang bertemakan "ilmu pemangkin pembangunan, iman penyuluh kemajuan dan takwa pemacu 'al-FALAH' di dunia dan akhirat".

Sesungguhnya manusia itu asal kejadiannya dari tanah dan akan kembali menjadi tanah. Asal keturunan manusia daripada Nabi Adam a.s. dan Siti Hawa a.s..Allah swt menjadikan manusia dengan sebaik-baik kejadian sebagaimana firmanNYA dalam surah at-Tin: ayat 4 yang bermaksud 'Sesungguhnya kami jadikan manusia itu dengan sebaik-baik kejadian (anugerah aqal fikiran dan panca indera)'.

Untuk itu, dalam mengkategorikan diri kita sebagai manusia yang telah dikurniakan aqal fikiran oleh ALLAH swt sebagai membezakan manusia yang beraqal dengan makhluk-makhluk lain yang tidak beraqal, maka saya menyeru kepada diri saya dan tuan-tuan dan puan-puan, marilah sama-sama kita gunakan gelanggang ini sebagai paltform untuk berdiskusi secara terdidik dan matang akan segala isu-isu manusiawi yang menyentuh soal agama (akidah, syariah (ibadah+muamalah) dan akhlak, soal sosial hierarki masyarakat, ekonomi, politik, sukan dan sebagainya.

Mudahan, blog ini beroleh rahmat dan hidayah dari ALLAH swt agar setiap perkara yang dibincangkan melalui blog ini mendapat redha dariNYA dan manfaat dari sudut ilmiah untuk faedah bersama..Salam perkenalan dan selamat berdiskusi.