Thursday, August 12, 2010

Isu Pengurusan Kewangan Di Pejabat Daerah Dan Tanah

PENGURUSAN WANG AWAM:
KEKANGAN DAN STRATEGI PENYELESAIAN; TINJAUAN UMUM PERMASALAHAN DI PEJABAT DAERAH DAN TANAH

PENDAHULUAN


Kecemerlangan dan ketelusan Pengurusan Kewangan Sektor Awam adalah instrumen teragong dalam menghasilkan kebolehpercayaan tadbir urus wang negara dan rakyat. Keterakuran dan ketertiban dalam tadbir urus Kewangan Sektor Awam akan menjamin keyakinan orang awam, peniaga swasta dan pelabur asing untuk mengambil bahagian bagi merancakkan kitaran aliran tunai dalam usaha memacu ekonomi negara yang sihat.

2. Tugas untuk melaksanakan Pengurusan Kewangan Awam yang cekap dan efisen di kementeiran, jabatan dan khususnya di Pejabat Daerah Dan Tanah merupakan satu amanah dan tanggungjawab besar setiap penjawat awam. Ia menuntut lonjakan paradigma terhadap penghayatan nilai integriti dan akauntabiliti yang tinggi bukan sahaja dalam pemikiran, bahkan juga dalam tindakan. Penjawat awam yang jiwanya tidak diisi dengan tulus akan nilai integriti dan akauntabiliti yang tinggi, akan menyediakan ruang untuk berlakunya aktiviti negatif seperti penyelewengan, pembaziran, pemborosan dan rasuah. Perlakuan negatif yang gagal ditangani ini akan membantutkan iltizam dan usaha Kerajaan untuk menzahirkan kecekapan dan ketelusan dalam Pengurusan Kewangan Sektor Awam umpama ‘menyiram air di daun keladi’.

3. Slogan ‘membetulkan yang biasa dan membiasakan yang betul’ dan langkah Kerajaan melaksanakan ‘Indeks Akauntabaliti’ pada 2007 dalam Pengurusan Wang Awam di semua agensi Kerajaan adalah antara komitmen komprehensif Kerajaan. Ia bertujuan melahirkan penjawat awam yang berupaya melaksanakan amanah mentadbir Wang Awam dengan cekap, telus dan berkesan mengikut prosedur melalui tanda aras yang ditetapkan. Ini penting supaya agihan sumber dana negara berdasarkan keutamaan dengan menggunakan kawalan tertentu dapat mencapai objektif dan impak yang ditetapkan Kerajaan. Pengurusan Kewangan yang cekap, telus dan berkesan di Pejabat Daerah Dan Tanah akan menyumbang kepada kemakmuran pembangunan di peringkat daerah supaya setiap ringgit yang diterima dan dibelanjakan akan memberikan manfaat dan impak yang optima (value for money) kepada rakyat.


LATAR BELAKANG

4. Pengurusan Kewangan ditakrifkan sebagai satu proses di mana sebuah organisasi perlu mematuhi tatacara dan peraturan yang ditetapkan untuk memperolehi dan menggunakan sumber berdasarkan kepada objektif tertentu. Ia merangkumi perancangan, pelaksanaan, penyelarasan, pengawalan dan penilaian kewangan .

5. Integriti berasal dari perkataan latin ʻintegritas’ yang bermaksud tidak terjejas, kukuh, benar dan boleh dipercayai. Dari sudut terminologi, integriti penjawat awam didefinisikan sebagai melaksanakan amanah dan kuasa yang dipertanggungjawabkan menurut kepentingan umum. Penjawat awam tidak boleh menyalahgunakan kuasanya untuk kepentingan diri, keluarga, saudara mara atau kaum kerabat sendiri. Apabila berlaku konflik kepentingan, ia mesti diselesaikan dengan memberi keutamaan kepada kepentingan awam. Dengan demikian, penjawat awam itu perlu telus dan tulus, harus memikul pertanggungjawaban terhadap ketuanya, orang di bawahnya dan pihak lain .

6. Akauntabiliti pula berasal daripada perkataan Inggeris iaitu accountable yang bermaksud kebertanggungjawaban. Dari sudut istilah akauntabiliti ditakrifkan sebagai tanggungjawab yang dipikul untuk mengekal dan mengurus prestasi yang telah dipertanggungjawabkan (diperturunkan kuasa) oleh pemilik kuasa kepada mereka yang diberikan kuasa untuk menjalankan kewajipan memelihara harta dan meningkatkan pencapaian berdasarkan undang-undang dan tempoh masa yang dipersetujui dan bertanggungjawab dengan tindakannya .

7. Pada peringkat persekutuan, Menteri Kewangan bertanggungjawab secara keseluruhan berhubung dengan Pengurusan Kewangan Kerajaan. Menteri Kewangan juga boleh menurunkan kuasa kepada Pegawai Pengawal bagi merancang, melaksana dan menilai Pengurusan Kewangan Sektor Awam. Pegawai Pengawal adalah pegawai yang dilantik oleh Menteri Kewangan bagi Kerajaan Persekutuan, atau Pegawai yang dilantik oleh Menteri Besar/ Ketua Menteri bagi Kerajaan Negeri . Di peringkat pentadbiran daerah, Pegawai Daerah dipertanggungjawabkan sebagai Pegawai Pengawal di Pejabat Daerah Dan Tanah.

8. Pengauditan pengurusan kewangan merupakan pengauditan pematuhan yang dijalankan untuk menentukan samada pengurusan kewangan di Pejabat Daerah Dan Tanah dilaksanakan mengikut undang-undang dan peraturan kewangan yang berkaitan dan bukan sahaja aspek pengurusan kewangan dipatuhi, malah merangkumi aspek pengurusan yang menyeluruh di setiap Pejabat Daerah Dan Tanah.

SEPINTAS LALU ISU KELEMAHAN PENGURUSAN KEWANGAN SEKTOR AWAM

9. Berdasarkan Laporan Ketua Audit Negara Tahun 2008 merujuk kepada Penyata Kewangan bertarikh 31 Disember 2008, terdapat beberapa kelemahan yang biasa dilakukan oleh Pegawai Pengawal dan merupakan kesalahan yang berulang dalam Pengurusan Kewangan Sektor Awam iaitu:

9.1 Perbelanjaan Peruntukan Mengurus Tidak Mengikut Peraturan:
9.1.1 Perbelanjaan Tanpa Peruntukan berjumlah RM522,155.58 melibatkan 8 kes di 6 buah kementerian/ jabatan persekutuan; dan

9.1.2 Perbelanjaan Melebihi Peruntukan berjumlah RM5.7 bilion melibatkan 317 kes di 34 buah kementerian/ jabatan persekutuan. Walau pun, peruntukan tambahan berjumlah RM3.61 bilion telah pun diluluskan oleh Parlimen pada bulan Mac 2009 bagi menampung lebihan perbelanjaan tersebut.

9.2 Kelemahan Perancangan Dan Pemantauan:

9.2.1 Peruntukan Tidak Dibelanjakan berjumlah RM87.08 juta melibatkan 105 kes di 25 buah kementerian/ jabatan persekutuan; dan

9.2.2 Tambahan Peruntukan Tidak Dibelanjakan berjumlah RM48.23 juta melibatkan 92 kes di 25 buah jabatan/ kementerian persekutuan malahan peruntukan asal juga masih mempunyai baki berjumlah RM84.76 juta.

9.3 Peningkatan Kes Dan Jumlah Pembayaran Melangkaui Tempoh Kewangan Semasa Di Bawah Arahan Perbendaharaan 58(a)
Bayaran di bawah Arahan Perbendaharaan 58(a) mendapati bayaran berjumlah RM856.57 juta telah dibuat pada tahun 2008 berbanding RM292.45 juta pada tahun 2007, peningkatan sejumlah RM564.12 juta (192.9%) oleh 39 Kementerian/Jabatan Persekutuan.


FAKTOR PENYEBAB YANG MEMPENGARUHI KELEMAHAN PENGURUSAN KEWANGAN AWAM DI PEJABAT DAERAH DAN TANAH

10. Bagi menganalisa faktor penyebab yang menyumbang kepada kepincangan dan kelemahan Pengurusan Kewangan Sektor Awam, kaedah analisis yang saya gunakan adalah melalui analisis SWOT dan Tulang Ikan Ishikawa sebagaimana di bawah:

10.1 Analisis SWOT faktor penyebab menyumbang kepada kepincangan Pengurusan Kewangan Sektor Awam:

STRENGTH (KEKUATAN)
• Akta/ Dasar Kerajaan/ Arahan dan Pekeliling Perbendaharaan
• Panduan Kerja/ Prosedur Kerja
• Indeks Akauntabiliti
• Pelan Integriti Nasional
• Aktiviti/ Entiti Pemurnian/ Pemantauan/ Penguatkuasaan seperti IIM, Audit Negara, BPA, PAC, SPRM, SPA dan lain-lain

WEAKNESSES (KELEMAHAN)
• Pembaziran -Belanja Melebihi Peruntukan
• Salah Guna Kuasa/ Sumber –sangat mahir selok belok Pengurusan Kewangan
• Penyelewengan –terlalu lama terlibat dalam pengurusan kewangan
• Kurang Pendidikan Agama (Kerohanian)/ Moral –kurang faham halal/ haram
• Sistem/ Prosedur Kerja Lapuk –tidak dikemaskini
• Lemah Kawalan/ Pemantauan Oleh Ketua Jabatan –Tiada mekanisme pemantauan/ pelaporan
• Kurang Pengetahuan Berkaitan ‘core business’ -Ketua Jabatan/ pegawai baru
• Pemikiran/ Sikap Negatif Pegawai -utama kepentingan peribadi
• Aplikasi Teknologi Lapuk
• Tindakan Punitif Kurang Berkesan
-OKT tidak takut dengan hukuman
• Kurang Sokongan Pengurusan Tertinggi Organisasi -kurang galakan/ serius patuhi peraturan
• Teknologi lama/teknologi tidak stabil
• Tiada Kod Etika/ Nilai Murni Perkhidmatan


OPPORTUNITIES (PELUANG)
• Tawaran Perkongsian Keuntungan Yang Menarik Daripada Pihak Pembekal/ Kontraktor Kepada Pegawai
• Wujud Galakan Daripada Pengurusan Tertinggi Organisasi
• Hubungan Erat Pegawai Dengan Pembekal/ Kontraktor
• Hubungan Kekeluargaan Pegawai Dengan Pembekal/ Kontraktor


THREATS (ANCAMAN)
• Camputangan Ahli Politik
• Tindakan Pemulauan Ahli Organisasi
• Ancaman/ Ugutan Negatif Pihak Berkepentingan
• Ditukar Tempat Bertugas Enggan Bekerjasama
• Pemikiran Masyarakat/ Persekitaran Yang Negatif Suka Meminta

10.2 Berdasarkan analisis SWOT di atas dengan merujuk ruang kelemahan (weaknesses), saya menggunakan rajah Tulang Ikan Ishikawa untuk menjelaskan dengan lebih spesifik setiap isu yang menjadi faktor penyebab keuzuran Pengurusan Kewangan Sektor Awam di Pejabat Daerah Dan Tanah. Rajah Ishikawa ini pada kebiasaan dipersembahkan secara horizontal tetapi diubahsuai kepada vertical sebagai inovasi persembahan ini semata-mata sebagaimana di bawah:

11. Bagi menerangkan faktor pendorong keberterusan berlakunya kekangan Pengurusan Kewangan Sektor Awam, huraian dan penjelasan seperti berikut:

11.1 Kepimpinan Organisasi

Wujud segelintir pengurusan tertinggi Pejabat Daerah Dan Tanah yang kurang memberikan komitmen dan sokongan kepada pegawai bawahan yang bersungguh-sungguh dalam melaksanakan Pengurusan Kewangan Awam dengan penuh integriti dan akauntabiliti. Pengalaman mengajar saya bagaimana tindakan di luar nilai integriti sebilangan Pengurusan Tertinggi mengarahkan ahli-ahli Jawatankuasa Sebutharga Projek Kecil Peringkat Daerah untuk melaksanakan syornya melantik kontraktor yang jelas tidak memenuhi syarat kelayakan untuk melaksanakan kerja fizikal persekutuan walau pun tidak dipersetujui ahli-ahli mesyuarat yang lain.

Sekelompok kecil pemimpin organisasi di Pejabat Daerah Dan Tanah tertentu kurang mengamalkan contoh kepimpinan terbaik dalam melaksanakan Pengurusan Kewangan Awam. Wujud aktiviti yang sanggup berkompromi perkara yang tidak teratur dengan nilai-nilai integriti dan akauntabiliti bersama pihak ketiga. Tindakan ini boleh mempengaruhi minda dan tindakan pegawai bawahannya untuk melaksanakan tindakan negatif yang sama dalam tadbir urus kewangan. Dalam tempoh hampir tiga (3) tahun saya di dua (2) buah Pejabat Daerah Dan Tanah, sebanyak dua (2) kali SPRM datang membuat siasatan ekoran aduan pihak lain berlakunya salah guna kuasa dalam urusan perolehan projek/ bekalan di pejabat berkenaan. Selain itu, tindakan tatatertib yang sekadar melepaskan batuk di tangga dan tidak mendatangkan kesan dan keinsafan kepada pegawai yang bersalah juga mempengaruhi kepincangan Pengurusan Wang Awam.

11.2 Faktor Persekitaran

Campur tangan ahli politik antara faktor penyumbang utama mempengaruhi kekalutan pelaksanaan Pengurusan Wang Awam. Penganugerahan kerja fizikal dan bekalan/ perkhidmatan tanpa perakuan daripada atau melalui sesetengah pemimpin politik telah memburukkan imej dan kredibiliti ketelusan Pengurusan Wang Awam di Pejabat Daerah Dan Tanah.

Pengaruh pemimpin tempatan seperti Ketua Kampung, Ketua Komuniti dan Ketua Institusi Agama juga menyumbang kepada kebejatan tadbir urus wang awam melalui tuntutan dan permintaan yang bermacam-macam di luar kawalan peraturan kewangan. Penentuan jenis skop kerja dan penetapan tempat yang mencampuri urusan pelaksanaan projek/ bekalan menyebabkan sesetengah perbelanjaan program/ projek melebihi bajet atau peruntukan dan mengambil tempoh siap kerja di luar jangkaan jabatan.

Selain itu, pengaruh ahli keluarga, saudara mara dan rakan taulan juga boleh mengheret penjawat awam untuk berkompromi dan mengurus wang awam di luar pematuhan peraturan kewangan yang berkuatkuasa. Keputusan dibuat berdasarkan pilih kasih bukan berdasarkan syarat kelayakan yang menjadi kriteria pemilihan. Bahkan ada pembekal/ kontraktor yang berani menawarkan habuan kebendaan tertentu dan wang tunai kepada pegawai awam supaya berkompromi dengannya.

11.3 Faktor Pegawai

Faktor paling besar dalam merealisasikan Pengurusan Wang Awam yang berintegriti dan berakauntabiliti adalah pegawai. Pembentukan pemikiran dan tindakan yang holistik berhubung dengan pendidikan keagamaan dan tauhidik atau nilai moral sangat membantu mengatasi kelemahan Pengurusan Wang Awam. Namun, sikap dan pemikiran positif penjawat awam di Pejabat Daerah Dan Tanah berbeza berbanding penjawat awam di peringkat kementerian/ jabatan persekutuan.

Meletakkan kepentingan peribadi dan keluarga mengatasi kepentingan umum menjadikan tugas mengurus kewangan semakin pincang dan kritikal. Pegawai yang menjalankan tugas kewangan terlalu lama di satu-satu tempat telah mewujudkan jaringan hubungan kerja yang kukuh. Situasi ini boleh mendorong untuk melakukan penipuan, penyelewengan dan salah guna kuasa kerana terlalu mahir selok belok pengurusan kewangan jabatan.

Tidak dinafikan elemen kepakaran/ pengalaman untuk menjalankan tugasan kewangan sangat diperlukan. Proses pertukaran pegawai pengurusan kewangan yang kerap sering mendatangkan masalah kepada proses kewangan seperti pindah peruntukan, pengemaskinian belanjawan dan rekod maklumat akan tidak dapat diselenggara dengan teratur dan lengkap disebabkan kurang cekap, kurang pengetahun dan kurang latihan.

11.4 Teknologi/ ICT

Teknologi yang digunapakai di Pejabat Daerah Dan Tanah masih ketinggalan berbanding di kementerian/ jabatan persekutuan. Bagi mengenalpasti kedudukan tanah strategik dan lokaliti bagi tujuan untuk ukur sempadan, Jabatan Ketua Pengarah Tanah Dan Galian (JKPTG) dan Jabatan ukur Dan Pemetaan Malaysia (JUPEM) telah lama menggunakan kaedah Geographyc Information System (GIS) yang menggunakan signal satelit untuk kenalpasti lokaliti dan sempadan tanah yang di kawasan pedalaman hutan. Di sebabkan kekangan kewangan, teknologi tidak dapat digunakan dan mengakibat pegawai masih menggunakan kaedah manual.

Sistem pangkalan data dan permohonan tanah secara on line kemudahan ICT e-Tanah yang tidak stabil dan tidak dapat digunakan mengikut spesifikasi entiti kepenggunaan yang diperlukan di Pejabat Daerah Dan Tanah telah mengundang polemik terhadap pembangunan sistem berkenaan yang menelan duit rakyat berjumlah RM1.3 bilion di empat (4) buah Pejabat Daerah Dan Tanah perintis bagi projek berkenaan. Sehingga kini projek tersebut gagal berfungsi sepenuhnya.

Pendekatan ‘paperless’, email, internet dan sistem kewangan baru seperti e-Terimaan bagi proses pungutan hasil Kerajaan adalah telus dan selamat. Namun, sebaliknya yang berlaku melalui aplikasi komputer terimaan hasil di Pejabat Daerah Dan Tanah berkurangan berbanding kaedah kutipan hasil secara manual yang dilaksanakan sebelum ini. Selain itu, di Pejabat Daerah Dan Tanah yang masih menggunakan sistem perisian komputer yang lama yang jauh ketinggalan 10 tahun terkebelakang. Ini menyebabkan pengurusan kewangan jabatan menjadi kurang efisyen dan tidak sistematik.

11.5 Sistem/ Prosedur Kerja

Kebanyakan sistem dan prosedur kerja sedia ada di Pejabat Daerah dan Tanah tidak dikemaskini mengikut perubahan terkini. Keadaan ini akan mempengaruhi prestasi dan produktiviti organisasi. Manual Prosedur Kerja (MPK) dan Fail Meja (FM) hendaklah diselaras sejajar dengan perubahan dasar penyampaian perkhidmatan Kerajaan di samping memenuhi hala tuju organisasi. MPK dan FM hendaklah selari dengan sistem semasa Kerajaan seperti e-KL, HRMIS, eSPKB dan My eG.

Laporan Ketua Audit Negara Tahun 2008, masih wujud jabatan di peingkat daerah seperti pejabat kesihatan daerah dan pejabat pelajaran daerah yang belum lagi mempunyai sistem merekod dokumen yang sistematik dan sistem pengurusan pergerakan fail yang baik. Ini akan menyumbang kepada masalah ketidakpatuhan kepada peraturan kerja dan boleh menyumbang kepada kemerosotan produktiviti, sistem penyampaian, dan masalah integriti penjawat awam.

Kawalan, pemantauan dan kaedah pelaporan yang longgar dan tidak menyeluruh menjejaskan imej dan reputasi Pengurusan Kewangan Awam. Di peringkat negeri, perbelanjaan dilakukan oleh Pengawai Pengawal di Pejabat Daerah Dan Tanah wajar dibentang di peringkat Pihak Berkuasa Negeri sebagai keselarasan pemantauan dan pelaporan antara agensi pemberi peruntukan seperti Unit Penyelarasan dan Pelaksanaan (ICU), Kementerian Kemajuan Luar Bandar Dan Wilayah (KKLW), Unit Perancang Ekonomi Negeri (UPENg) dan Pejabat Daerah dan Tanah.

CADANGAN STRATEGI DAN PELAN TINDAKAN MENAMBAH BAIK TADBIR URUS WANG AWAM DI PEJABAT DAERAH DAN TANAH

12. Berasaskan kepada faktor penyumbang yang mempengaruhi kekangan dan kelemahan Pengurusan Kewangan Sektor Awam, saya ingin mencadangkan beberapa strategi dan pelan tindakan yang pada pandangan saya berupaya mengatasi kekangan dan kelemahan tadbir urus wang awam di Pejabat Daerah Dan Tanah. Antaranya:

12.1 Strategi 1: Memupuk Pendidikan Tauhidik/ Moral Bersifat Holistik Penjawat Awam

a) PROGRAM
Pendidikan Dan Bimbingan Agama/ Moral

PELAN TINDAKAN
Melaksanakan sesi pengajaran dan pembelajaran bersifat ketauhidan dan kepercayaan agama secara menyeluruh (tidak menjurus kepada sembahyang, puasa, ibadah haji dan zakat sahaja bahkan dalam diperluaskan dalam konteks kehidupan, kerja, komunikasi, interaksi dan lain-lain) secara berkala selama 30 minit, setiap minggu pada sesi morning call.

b) PROGRAM
Lawatan Pendidikan Ke Mahkamah/ Penjara/ Pusat Tahanan

PELAN TINDAKAN
Pendidikan kognitif melalui lawatan berkala sebulan sekali atas kepentingan perkhidmatan dengan agensi penguatkuasa Kerajaan seperti SPRM, PDRM, Penjara, Imigresen, Mahkamah bertujuan untuk memberi kesedaran (recognizing) atas hukuman bakal diterima. Ia juga sebagai bentuk pencegahan (preventive) kepada penjawat awam Pejabat Daerah dan Tanah untuk menjauhkan diri daripada rasuah, penyelewengan dan salah guna kuasa/ sumber.

c) PROGRAM
Latihan Pembinaan Jati Diri/ Identiti dan Personaliti

PELAN TINDAKAN
Latihan/ seminar/ kursus khusus Penjawat Awam Pejabat Daerah Dan Tanah dengan Pembinaan Jati Diri/ Identiti/ Personaliti yang sama dilaksanakan di kementerian/ jabatan persekutuan sekurang-kurangnya empat (4) kali setahun atau tiga (3) bulan sekali menggunakan tenaga pakar dari agensi persekutuan seperti BTN, IIM, INTAN, INSTUN dan SPRM. Set pemikiran dan sikap perlu dibentuk dan dipupuk supaya selari dengan set pemikiran penjawat awam di kementerian/ jabatan persekutuan bagi melahirkan satu identiti dan personaliti selaras dengan Gagasan 1Malaysia: Rakyat Didahulukan, Pencapaian Diutamakan.


12.2 Strategi 2: Pelaksanaan Nilai Integriti Dan Akauntabiliti Secara Total

a) PROGRAM
Program Kursus/ Seminar/ Latihan


PELAN TINDAKAN
Penerapan Nilai Integriti Kursus/ latihan integriti kepada semua pegawai awam di Pejabat daerah Dan Tanah setiap tiga (3) bulan kerjasama Jabatan Audit Negara, Institut Integriti Malaysia, Perbendaharaan dan Cawangan Tatatertib JPA menjelaskan perihal integriti.

b) PROGRAM
Pelaksanaan Indeks Akauntabiliti Melalui Program Anak Angkat

PELAN TINDAKAN
Melaksanakan Indeks Akauntabiliti di semua Pejabat Daerah Dan Tanah seluruh Negara. Sebagai perintis, Jabatan Audit Negara disyorkan memilih enam (6) buah Pejabat Daerah Dan Tanah iaitu empat (4 ) buah di Semenanjung dan masing-masing satu (1) buah di Sabah dan Sarawak untuk dijadikan Program Anak Angkat di bawah program pemantauan langsung Pengurusan Kewangan Awam oleh Jabatan Audit Negara untuk tambah baik tadbir urus wang awam di peringkat pentadbiran daerah.

12.3 Strategi 3: Pemantapan Nilai Pemikiran Murni Dan Sahsiah Unggul Pemimpin Organisasi

a) PROGRAM
Pembinaan Intelectual Quotient (IQ), Self Spiritual Quotient (SQ) dan Emotion Quotient (EQ) Dalam Diri Pemimpin


PELAN TINDAKAN
Satu program pemantapan bersepadu secara hands on merangkumi pemikiran positif, kerohanian relative keimanan dan emosi murni kepada Ketua Penolong Pegawai Daerah dan Pegawai Daerah melalui pembelajaran berterusan dan berkala sekurang-kurangnya tiga (3) kali setahun bersama pakar psychology. Ilmu peribadi IQ, SQ dan EQ yang diperolehi kelak wajar dikongsi bersama pegawai-pegawai lain di Pejabat Daerah Dan Tanah dalam pelbagai bentuk seperti blended approach, program Mentor Mentee dan Program Perkongsian Ilmu sebulan sekali. Ini mengeratkan ikatan keorganisasian pengurusan dan pegawai bawahan untuk laksanakan amanah dan tanggungjawab dengan teratur dan tepat.

b) PROGRAM
Pembinaan Kemahiran Komunikasi Berkesan Dan Seni Berunding Berhemah Dengan Stake Holder


PELAN TINDAKAN
Penjawat awam dan Anggota Pentadbiran/ Ahli Parlimen (AP)/ Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN)/ Pemimipin Tempatan/ Peniaga perlu saling hormat menghormati dan memerlukan untuk kelangsungan tadbir urus Kerajaan yang baik dan konsisten. Kemahiran Komunikasi Berkesan dan Seni Berunding Berhemah perlu dijadikan ilmu wajib Pegawai Tertinggi sebelum ditempatkan di Pejabat Daerah Dan Tanah. Ia ‘tools’ penting untuk wujudkan hubungan harmoni dan professionalisme penjawat awam dengan stake holder agar dapat mencari titik penyelesaian terbaik dan win-win membuat keputusan dalam konteks pelaksanaan perolehan dengan mematuhi tadbir urus kewangan yang betul.

c) PROGRAM
Aktiviti Kawalan, Pemantauan Dan Pelaporan

PELAN TINDAKAN
Wujudkan mekanisme aktiviti kawalan di peringkat Pejabat Daerah Dan Tanah secara berkala seperti peringkat dalaman dua (2) minggu sekali untuk pantau pengurusan kewangan. Pelaporan di peringkat luaran ke peringkat Pihak Berkuasa Negeri dengan keselarasan semua agensi seperti ICU, KKLW, UPENg secara berkala sekali sebulan.

d) PROGRAM
Pembentukan Kod Etika, Nilai Murni

PELAN TINDAKAN
Mewujudkan kod etika perkhidmatan yang perlu dihayati oleh warga Pejabat Daerah Dan Tanah supaya setiap tindakan dan perkhidmatan berlandaskan kod etika yang telah digagaskan seperti profesionalisme, berhemah, tekun, wibawa, bekerja satu kumpulan, integriti.


12.4 Strategi 4: Menambahbaik Aplikasi Teknologi/ ICT

a) PROGRAM
Penggunaan Teknologi Terkini


PELAN TINDAKAN
Pejabat Daerah Dan Tanah sewajarnya diberikan peruntukan kewangan yang cukup untuk menggunakan Sistem GIS dan Remote Ariel Survey bagi meningkatkan penyampaian perkhidmatan kepada rakyat terutamanya pengurusan tanah bagi mengelakkan berlakunya isu integriti dan akauntabiliti seperti tuntutan bertindih ke atas lokasi tanah yang sama lantaran aktiviti ukur sempadan dan kenalpasti lokasi masih gunakan kaedah manual di kawasan jauh pedalaman/ hutan yang sukar dimasuki.

b) PROGRAM
Tambahbaik Kelengkapan Asas ICT Di Pejabat Daerah Dan Tanah


PELAN TINDAKAN
Mewujudkan pangkalan data tanah di peringkat Pejabat Daerah Dan Tanah selaras dengan pangkalan data di Pejabat Tanah Dan Galian Negeri supaya urusan terimaan hasil secara ‘online’ dapat dipantau dan dikawal daripada berlaku penyelewengan di peringkat daerah. Selain itu, kelengkapan asas ICT seperti kemudahan internet, lap top, desktop dengan perisian terkini, mesin faks yang terbaik dan stabil untuk kecepatan dan tepat dalam tindakan.


RUMUSAN

13. Pekerja cemerlang, organisasi gemilang. Organisasi terdiri daripada sekumpulan manusia yang diikat dengan peraturan, visi, misi dan bekerjasama untuk capai matlamat dan objektif organisasi. Ini bermakna manusia merupakan komponen utama penggerak organisasi dan sistem kerja. Pegawai yang cemerlang dari segi spiritual, emosi dan berintegriti menjadi tunjang besar kepada kegemilangan organisasi dan sistem kerja. Penjawat Awam di Pejabat Daearah Dan Tanah yang beramanah dan bertanggungjawab mampu mengagenda dan mengurus Pengurusan Kewangan Awam dengan teratur bagi menjamin kecemerlangan prestasi dan produktiviti. Perbelanjaan wang rakyat pada tempat yang betul dan teratur akan memberi impak (outcome) dan kepercayaan rakyat terhadap Kerajaan.



SUMBER RUJUKAN

1. Akta Acara Kewangan 1957;

2. Laporan Ketua Audit Negara Tahun 2008;

3. Kecemerlangan Pengurusan Kewangan Dari Perspektif Jabatan Audit Negara, 2008, Jabatan Audit Negara, Institut Tadbiran Awam Negara Kuala Lumpur;

4. Pelan Integriti Nasional, 2004, Putrajaya;

5. Tadbir Urus Korporat: Ke Arah Tadbir Urus Berkualiti Dalam Sektor Awam Dan Swasta, Ahmad Atory Hussain, 2007, Utusan Publication & Distributors Sdn Bhd; Kuala Lumpur; dan

6. Gagasan Pemimpin: Koleksi Ucapan Pengurus Tertinggi Jabatan Perkhidmatan Awam, 2006, Putrajaya.